DUNIA
Mark Zuckerberg tubuh pasukan khas bangunkan ‘superintelligence’ – Laporan

Zuckerberg dilaporkan sedang membentuk pasukan khas untuk membangunkan teknologi ‘superintelligence’ - iaitu kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengatasi keupayaan manusia. - Gambar AP
CALIFORNIA: Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg dilaporkan sedang membentuk pasukan khas untuk membangunkan teknologi ‘superintelligence’ - iaitu kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengatasi keupayaan manusia.
Menurut laporan Bloomberg, Zuckerberg mengambil pendekatan peribadi dalam usaha tersebut setelah kecewa dengan kemajuan Meta dalam bidang AI, termasuk projek model bahasa terbaharu mereka, Llama 4.
Difahamkan, Zuckerberg telah bertemu dengan pakar-pakar AI di kediamannya di Lake Tahoe dan Palo Alto dalam usaha mempercepat pembangunan teknologi tersebut.
Bagaimanapun, setakat ini, Meta masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.Meta sebelum ini telah melancarkan beberapa alat AI dalam produk mereka seperti Facebook, WhatsApp, cermin mata pintar Ray-Ban, dan chatbot.
Namun, dalam landskap persaingan AI yang sengit, OpenAI - pencipta ChatGPT - kekal sebagai peneraju industri, manakala model Llama milik Meta berdepan beberapa cabaran.
Menurut Bloomberg, Zuckerberg merancang untuk merekrut sekitar 50 individu dan telah mengubah susun atur ibu pejabat Meta di Menlo Park bagi menempatkan pasukan AI baharu berhampiran pejabatnya.
Usaha ini juga dilapor dibiayai sepenuhnya melalui hasil iklan Meta yang besar.
The New York Times turut mengesahkan banyak butiran laporan ini, termasuk penglibatan Ketua Pegawai Eksekutif Scale AI, Alexandr Wang, 28, dalam projek tersebut.
Meta dilapor sedang mempertimbangkan pelaburan berbilion dolar dalam syarikat Wang.
Zuckerberg kini semakin agresif dalam usaha menjadikan Meta sebagai kuasa besar dalam bidang AI, terutama selepas kemajuan ketara yang dicapai pesaing seperti OpenAI.
Sasaran beliau untuk membina 'superintelligence' dilihat sangat mencabar kerana teknologi perlu terlebih dahulu mencapai tahap 'Artificial General Intelligence' (AGI) – keupayaan AI untuk melakukan apa sahaja yang mampu dilakukan manusia.
Para penyelidik AI masih berbeza pendapat mengenai sejauh mana teknologi kini mendekati tahap AGI, ada yang mengatakan ia hanya beberapa tahun lagi, manakala yang lain percaya kita masih jauh dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas ke arah itu.
Meta kini bersaing rapat dengan OpenAI yang disokong Microsoft, Alphabet (syarikat induk Google), serta beberapa syarikat baharu lain seperti xAI milik Elon Musk dan Anthropic.
Apple pula baru-baru ini mengumumkan beberapa inisiatif AI sendiri selepas permulaan yang perlahan.
Zuckerberg dan ramai pemimpin teknologi percaya AI boleh menjadi ancaman besar kepada perniagaan mereka.
Meta cuba membezakan dirinya melalui pendekatan sumber terbuka untuk Llama, dengan matlamat menjadi asas kepada majoriti sistem AI dunia - seumpama peranan Android dalam telefon pintar. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami