OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menamakan Mary Simon sebagai gabenor negara yang baharu.

Beliau menjadi individu Orang Asli pertama menjawat jawatan berkenaan.

Bekas diplomat dan aktivis hak asasi Inuit itu akan mewakili ketua negara Kanada, Ratu Elizabeth II.

Pengumuman mengenainya menyusul hampir enam bulan selepas bekas Gabenor Negara, Julie Payette meletakkan jawatan kerana dakwaan buli.

Kerajaan melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan bahawa terdapat beberapa petugas dibuli di bawah kepimpinan Payette.

Sebagai gabenor negara dan wakil kepada ratu di Kanada, Simon akan bertanggungjawab dengan semua tugas rasmi semasa ketiadaan Ratu Elizabeth II.

Beliau mempunyai kuasa untuk menyampaikan ucapan, menggantung Parlimen, memperkenan peraturan menjadi undang-undang dan menerima angkat sumpah perdana menteri serta ketua turus tentera Kanada.

Sebelum Simon dipilih, Justin menamakan Ketua Hakim Richard Wagner sebagai gabenor sementara.

Lebih 100 senarai nama diperhalusi sebelum pemilihan Simon diputuskan.