[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
INTERNATIONAL

MAS pantau kesan pengumuman tarif AS terhadap ekonomi Singapura

Bernama 03/04/2025 | 15:45 MYT
Pasaran pertukaran asing dan wang Singapura masih beroperasi seperti biasa, tetapi ia bersedia untuk mengekang sebarang turun naik yang berlebihan dalam pasaran. - Gambar fail/Adobe Stock
SINGAPURA: Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) menjelaskan bahawa pihaknya sedang memantau rapat perkembangan semasa dan menilai implikasi terhadap ekonomi Singapura susulan pengumuman tarif terbaru oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, bank pusat dan pengawal selia kewangan bersepadu itu menegaskan bahawa pasaran pertukaran asing dan wang Singapura masih beroperasi seperti biasa, tetapi ia bersedia untuk mengekang sebarang turun naik yang berlebihan dalam pasaran.
"MAS bersedia untuk mengawal sebarang turun naik melampau dalam dolar Singapura serta memastikan pasaran pertukaran asing dan wang negara terus berfungsi secara teratur," menurut kenyataan itu.
Pada Rabu, Trump menandatangani perintah eksekutif yang mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus terhadap semua negara, serta tarif timbal balik lebih tinggi terhadap negara yang mempunyai defisit perdagangan terbesar dengan Amerika Syarikat.
Tarif itu akan berkuat kuasa pada 5 dan 9 April, dengan Singapura tertakluk kepada kadar asas 10 peratus.
Langkah terbabit akan kekal berkuat kuasa sehingga Trump menentukan bahawa ancaman akibat defisit perdagangan dan layanan bukan timbal balik diselesaikan atau dikurangkan.
-- BERNAMA
#Malaysia Airlines #Donald Trump #defisit perdagangan #kadar asas