DUNIA

Masalah gelandangan di England meningkat mendadak - Laporan

Bernama 10/11/2025 | 15:13 MYT
Lebih separuh daripada golongan yang tidur di jalanan di London kini bukan warganegara UK, mencerminkan peningkatan permohonan suaka dan usaha menyelesaikan kes tertunggak. - Reuters
LONDON: Masalah gelandangan di England meningkat dengan ketara sepanjang tahun lalu, menurut laporan baharu yang memberi amaran bahawa pihak berkuasa tempatan bergelut menangani peningkatan permintaan dan tekanan kewangan, lapor Anadolu Ajansi.

Laporan Homelessness Monitor England 2025 oleh pertubuhan amal Crisis yang berpangkalan di United Kingdom (UK) mendapati jumlah individu yang tidur di jalanan meningkat 20 peratus tahun lalu kepada 4,667 orang, hampir dua kali ganda berbanding paras terendah semasa pandemik COVID-19.

Lebih separuh daripada golongan yang tidur di jalanan di London kini bukan warganegara UK, mencerminkan peningkatan permohonan suaka dan usaha menyelesaikan kes tertunggak, menurut laporan itu.

Pada 2024, sebanyak 330,000 isi rumah dinilai oleh majlis tempatan, iaitu pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan awam, sebagai gelandangan atau berisiko menjadi gelandangan -peningkatan empat peratus dalam setahun dan 21 peratus dalam tempoh tiga tahun, menurut laporan itu.

Kes di London meningkat dengan lebih pantas, dengan peningkatan tujuh peratus dalam kalangan mereka yang berisiko dan 27 peratus dalam kalangan yang sudah menjadi gelandangan. Sebanyak 70 peratus pihak berkuasa tempatan berkata permintaan terhadap perkhidmatan bantuan gelandangan telah meningkat.

Kajian itu turut mendapati peningkatan ketara dalam kes gelandangan berpunca daripada pengusiran penghuni pusat penempatan suaka kendalian Pejabat Dalam Negeri yang naik 37 peratus, serta dalam kalangan individu yang keluar dari institusi seperti penjara atau hospital, yang meningkat 22 peratus.

Jumlah kes berkaitan penderaan domestik juga meningkat 14 peratus sejak 2021 susulan pelaksanaan perlindungan undang-undang baharu bagi mangsa.

Pada masa yang sama, keberkesanan sistem dalam menangani masalah gelandangan dilaporkan semakin menurun.

Kes yang berjaya mendapatkan penempatan menurun daripada 47 peratus pada 2021 kepada 39 peratus pada 2024.

Laporan itu menyimpulkan bahawa sistem bantuan gelandangan di England kini "berada di bawah tekanan hebat," sambil memberi amaran bahawa usaha pencegahan semakin diabaikan, perkhidmatan sokongan terhad dan pihak majlis semakin sukar mendapatkan perumahan untuk mereka yang memerlukan.

-- BERNAMA


#gelandangan #England #pemohon suaka #warga asing