DUNIA

Masjid Sheikh Zayed terima 4.3 juta pengunjung pada separuh pertama 2025

Bernama 17/08/2025 | 21:00 MYT
Solat Jumaat di Masjid Besar Sheikh Zayed telah menarik kehadiran 127,672 jemaah, solat harian 346,671, manakala Ramadan dan Aidilfitri mencatatkan 575,372 jemaah. - Gambar szgmc.gov
ABU DHABI: Pusat Masjid Besar Sheikh Zayed di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerima 4,346,831 tetamu pada separuh pertama 2025, peningkatan lima peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Agensi Berita Emiriah (WAM), jumlah itu merangkumi 1,948,482 jemaah dan tetamu berbuka puasa, 2,355,165 pelawat serta 43,184 pengguna trek joging.

Solat Jumaat menarik kehadiran 127,672 jemaah, solat harian 346,671, manakala Ramadan dan Aidilfitri mencatatkan 575,372 jemaah.

Pada 25 Mac iaitu malam ke-27 Ramadan, masjid itu menerima 72,710 jemaah, termasuk 11,483 bagi solat Tarawih dan 61,050 bagi solat Tahajjud.

Di bawah inisiatif "Tetamu Berbuka Kami", sebanyak 2.6 juta hidangan disediakan.

Daripada jumlah itu, 898,767 diedarkan di Masjid Besar Sheikh Zayed, 442,345 di Masjid Besar Sheikh Khalifa bin Zayed di Al Ain, 1.16 juta di kawasan penempatan pekerja dan 105,935 di lokasi lain di Abu Dhabi.

Semasa Aidiladha, seramai 96,497 tetamu hadir, termasuk 41,385 jemaah, 54,751 pelawat dan 361 pengguna trek Joging.

Kemudahan parkir merekodkan 988,411 kenderaan.

Dalam pada itu, sebanyak 82 peratus pengunjung datang dari luar negara, manakala 18 peratus merupakan warganegara dan penduduk UAE.

Asia menyumbang 49 peratus kehadiran tetamu, Eropah 35 peratus, Amerika Utara 10 peratus, Afrika 3 peratus, Amerika Selatan dua peratus dan Australia satu peratus.

Negara teratas ialah India (20 peratus), China (9 peratus), Rusia (8 peratus), Amerika Syarikat (7 peratus) dan Jerman (4 peratus).

Perancis, United Kingdom, Itali, Filipina dan Poland masing-masing menyumbang tiga peratus.

Pusat itu menerima 826 delegasi rasmi termasuk enam Ketua Negara, seorang Naib Presiden, enam Perdana Menteri, empat Speaker Parlimen, 44 Menteri serta 25 Duta dan Konsul.

Bagi menyokong kebolehcapaian, sebanyak 70 kenderaan elektrik, 3,515 kerusi dan 50 kerusi roda disediakan.

Antara pengalaman yang ditawarkan termasuk lawatan budaya, "Unseen Glimpses", Souq Al Jami', Trek Joging dan lawatan malam "Sura" sepanjang masa.

Pusat itu juga menawarkan "El-Delleel", panduan multimedia dalam 14 bahasa dengan pilihan bahasa isyarat dan mesra kanak-kanak.

-- BERNAMA





#pengunjung #Masjid Sheikh Zayed #Emiriah Arab Bersatu #UAE #Ramadan #Aidilfitri