Masjidil Haram terus terima ketibaan jemaah haji

Bernama
Julai 19, 2021 05:59 MYT
Jemaah haji mengamalkan penjarakan sosial ketika melakukan tawaf di Masjidil Haram, Mekah. Gambar REUTERS
MEKAH: Masjidil Haram pada Ahad bersamaan 8 Zulhijah juga dikenali hari Tarwiyah terus menerima ketibaan jemaah, di tengah-tengah pelaksanaan sistem perkhidmatan bersepadu dan langkah keselamatan demi memastikan jemaah dapat melaksanakan ibadah dengan lancar serta selesa.
Pihak pengurusan dua masjid suci sudah menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk jemaah, termasuk melakukan operasi pembasmian kuman di dalam Masjidil Haram dan perkarangannya, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Selain itu, pihak pengurusan turut menerima jemaah yang tiba dari dari tiga pusat yang menghimpunkan jemaah haji selain menyelaraskan kepulangan mereka sebaik selesai melakukan tawaf.
Pihak pengurusan turut mengedarkan botol air ZamZam dan menyediakan terjemahan dalam 10 bahasa untuk kemudahan jemaah. - BERNAMA
#Haji #jemaah haji #hari Tarwiyah #air zam zam #Mekah