DUNIA

Mawar Taif Arab Saudi, pati berharga untuk industri minyak wangi

Bernama 10/01/2026 | 23:00 MYT
Bunga ini merupakan simbol pertanian dan kebudayaan yang menonjol serta mempunyai kaitan mendalam dengan warisan dan pelancongan di wilayah itu. - Bernama
TAIF (Arab Saudi): Mawar Taif yang terkenal di Arab Saudi, dihargai kerana aromanya yang luar biasa serta ketelitian yang diperlukan dalam penanaman, penuaian, dan pemprosesannya, merupakan antara produk minyak wangi semula jadi yang paling berharga di negara itu.

Bunga ini juga merupakan simbol pertanian dan kebudayaan yang menonjol serta mempunyai kaitan mendalam dengan warisan dan pelancongan di wilayah itu.

Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), terdapat lebih 910 ladang mawar Taif di negara itu yang tersebar di Al-Hada, Al-Shafa, Wadi Muharram, Al-Wahat, Al-Wahit, dan Wadi Liya. Kawasan penanaman ini meliputi kira-kira 270 hektar dengan anggaran 1.14 juta pokok mawar.

Ladang-ladang berkenaan menghasilkan hampir 550 juta kuntum mawar setiap tahun, yang kesemuanya dituai dalam musim yang singkat iaitu tidak melebihi 45 hari, bermula dari awal Mac hingga akhir April.

Hasil tuaian ini menghasilkan kira-kira 20,000 "tola" minyak mawar Taif.

Untuk menghasilkan satu tola (1 tola = 11.7 gram) minyak mawar, kira-kira 12,000 kuntum mawar diperlukan. Bunga-bunga ini dipetik secara manual pada waktu subuh dan disuling dalam tempoh 24 jam bagi mengekalkan ketulenan serta kualiti aromanya sebelum dipasarkan.

-- BERNAMA






#Arab Saudi #mawar taif #Minyak Wangi #ladang mawar