Maxwell enggan jawab soalan berkaitan Epstein dalam pendengaran Kongres AS

Sebuah dokumen yang dimasukkan dalam pendedahan fail berkaitan Epstein menunjukkan pembaharuan pasport AS pada 2012 serta borang sistem tempahan persekutuan bertarikh 2020 bagi Maxwell. - Foto AP
WASHINGTON: Ghislaine Maxwell, sekutu kepada pesalah seks Jeffrey Epstein, enggan menjawab soalan dalam pendengaran tertutup Jawatankuasa Pengawasan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, dengan berulang kali menggunakan hak berdiam diri di bawah Pindaan Kelima Perlembagaan AS, lapor BBC.
Maxwell, yang kini menjalani hukuman penjara 20 tahun atas kesalahan pemerdagangan seks, memberi keterangan secara maya dari sebuah penjara di Texas.
Pengerusi jawatankuasa itu, James Comer, berkata tindakan Maxwell itu “seperti dijangka” dan disifatkan sebagai mengecewakan, sambil menegaskan jawatankuasa berkenaan mahu mendapatkan kebenaran serta keadilan buat mangsa.
Seorang lagi ahli jawatankuasa, Melanie Stansbury, berkata Maxwell dilihat menggunakan platform itu untuk merayu pengampunan presiden.
Peguam Maxwell, David Oscar Markus, sebelum ini berkata anak guamnya bersedia memberi keterangan penuh sekiranya diberikan pengampunan oleh Presiden AS, Donald Trump.
Bagaimanapun, sekumpulan mangsa Epstein menggesa ahli Kongres agar berwaspada terhadap sebarang kenyataan Maxwell, dengan mendakwa beliau sebelum ini gagal bekerjasama secara bermakna dengan pihak berkuasa dan enggan menamakan individu berpengaruh yang didakwa terlibat.
White House pula menegaskan tiada sebarang kelonggaran hukuman sedang dipertimbangkan bagi Maxwell.
Maxwell disabitkan kesalahan pada 2021 kerana membantu Epstein memperdaya gadis bawah umur.
Epstein meninggal dunia dalam tahanan pada 2019.
Pendengaran itu berlangsung ketika Jabatan Kehakiman AS mula membuka akses kepada berjuta-juta halaman fail siasatan berkaitan Epstein kepada ahli Kongres.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


