Skip to main content

Dunia

Mayat 9 pemain ski ditemui selepas insiden runtuhan salji di California

California Avalanche
Anggota Tentera Darat AS keluar dari sebuah helikopter Black Hawk di Lapangan Terbang Truckee Tahoe di Truckee, California selepas membantu operasi mencari dan membawa turun kumpulan pemain ski yang hilang dalam runtuhan salji. - Foto AP

CALIFORNIA: Pasukan penyelamat berjaya menemui mayat sembilan pemain ski backcountry yang terkorban dalam runtuhan salji di Castle Peak berhampiran Lake Tahoe, empat hari selepas tragedi itu berlaku.

Menurut pejabat Sheriff Daerah Nevada, mayat lapan mangsa ditemui terlebih dahulu, manakala mangsa kesembilan, yang sebelum ini hilang, dijumpai berhampiran lokasi sama tetapi tidak dapat dilihat ketika operasi awal akibat keadaan 'white-out'.

Advertisement

Sherif Shannon Moon memuji kerjasama antara agensi penyelamat, termasuk 42 sukarelawan yang membantu pada hari terakhir operasi.

Tiga daripada mangsa dikenal pasti sebagai ketua jurupandu Blackbird Mountain Company: Andrew Alissandratos, 34; Nicole Choo, 42; dan Michael Henry, 30.

Enam lagi mangsa ialah wanita berusia dalam lingkungan 40-an yang merupakan rakan rapat dan pemain ski berpengalaman.

Menurut keluarga mangsa, kumpulan itu mempunyai kemahiran mendalam dalam meneroka kawasan terpencil, dan dua rakan mereka terselamat bersama empat individu lain termasuk seorang jurupandu.

Runtuhan salji berlaku sekitar 11.30 pagi Selasa, ketika kumpulan 15 pemain ski sedang mengakhiri lawatan tiga hari mereka untuk mengelakkan ribut salji yang dijangka melanda.

Sebelum bantuan tiba, mangsa yang terselamat menemui tiga mayat di lokasi kejadian.

Usaha menyelamat terganggu selama beberapa hari akibat salji tebal dan risiko runtuhan susulan.

Pada Jumaat, dua helikopter digunakan untuk melepaskan salji tidak stabil bagi memastikan keselamatan pasukan.

Lima mayat berjaya dibawa turun pada malam itu, dan empat lagi pada keesokan paginya.

Pihak berkuasa memaklumkan kawasan itu akan ditutup sehingga pertengahan Mac untuk tujuan siasatan, namun menegaskan akses awam akan dibuka semula sebaik keadaan disahkan selamat.

 

Must Watch Video