Mayat dari bangkai pesawat dikenalpasti sebagai Emiliano Sala

Astro Awani
Februari 7, 2019 23:45 MYT
Mayat dibawa keluar dari kapal Geo Ocean III yang menjalankan kerja pencarian di Portland, England, 7 Feb, 2019. (Foto AP)
Mayat yang berjaya dibawa keluar pada Rabu dari bangkai pesawat Piper Malibu yang terhempas di Selat Inggeris dikenalpasti sebagai penyerang Cardiff City, Emiliano Sala.
Perkara tersebut disahkan oleh polis pada Khamis selepas ia dibawa ke Isle of Portland dan diserahkan kepada unit forensik di Dorset.
Pada 21 Januari lalu, Sala, 28 tahun, sedang dalam perjalanan dari Nantes untuk membuat penampilan pertama bersama pasukan Liga Perdana Inggeris, Cardiff City.
Pesawat kecil yang dinaiki bersama juruterbang David Ibbotson hilang dari radar ketika berada di Selat Inggeris dan telah disahkan terhempas ke laut.
BACA: Mayat dalam pesawat Emiliano Sala berjaya dikeluarkan
Bangkai pesawat itu dijumpai pada Ahad susulan pencarian di dasar laut yang dilakukan secara persendirian.
Satu mayat ditemui pada Rabu, menurut Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom.
Sala sebelum ini bersetuju untuk menyertai kelab Welsh, Cardiff, dengan bayaran termahal 15 juta pound dari kelab Perancis Ligue 1, Nantes.
Keluarga Sala dan Ibbotson telah dimaklumkan mengenai perkembangan terkini dan siasatan terhadap kes kematian itu sedang terus dijalankan, kata polis pada Khamis.
#Cardiff City #Emiliano Sala #hilang #kemalangan #Liga Perdana Inggeris #mayat #pesawat #polis #Selat Inggeris #siasatan #terhempas