DUNIA

Mayat semua 10 mangsa nahas pesawat ATR 42-500 di Sulawesi Selatan ditemukan

Astro Awani 23/01/2026 | 05:00 MYT
Kesemua 10 mayat mangsa nahas pesawat terhempas dekat Gunung Bulusaraung ditemui oleh pasukan penyelamat Indonesia. -Foto fail/FB Abby Blabby- True Crime & News
JAKARTA: Pasukan penyelamat Indonesia mengesahkan kesemua 10 mayat mangsa nahas pesawat jenis ATR 42‑500 yang terhempas berhampiran Gunung Bulusaraung, Maros, Sulawesi Selatan, ditemukan.


Ringkasan AI
  • Kesemua 10 mayat mangsa nahas pesawat terhempas dekat Gunung Bulusaraung ditemui oleh pasukan penyelamat Indonesia.
  • Pesawat ATR 42-500 milik Indonesia Air Transport yang disewa oleh Kementerian Kelautan dan Perikanan terlibat dalam nahas itu.
  • Pasukan penyiasat KNKT sedang menyiasat kotak hitam pesawat untuk mengenal pasti punca nahas.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Pesawat milik Indonesia Air Transport (IAT) tersebut disewa Kementerian Kelautan dan Perikanan untuk misi rondaan udara dari Yogyakarta menuju Makassar.

Ia dilapor membawa tujuh kru serta tiga kakitangan kementerian sebelum terputus hubungan dengan kawalan trafik udara pada 1.30 tengah hari waktu tempatan.

Menurut pegawai Agensi Mencari dan Menyelamat Sulawesi Selatan, Andi Sultan, dua mayat terakhir ditemukan awal pagi Jumaat, menjadikan keseluruhan mangsa berjaya dibawa keluar secara berperingkat.

Operasi turut diteruskan bagi mengeluarkan serpihan pesawat yang berselerakan di kawasan pergunungan yang curam serta diselubungi kabus tebal.

Sebelum ini, bangkai pesawat ditemukan di beberapa lokasi di sekitar Gunung Bulusaraung, kira‑kira 1,500 kilometer timur laut Jakarta, dengan faktor muka bumi yang mencabar menyukarkan operasi mencari dan menyelamat.

Pasukan penyiasat daripada Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) kini meneliti kotak hitam yang ditemukan bagi mengenal pasti punca nahas.

Laporan awal mendapati pesawat dipercayai merempuh lereng bukit dalam keadaan terkawal, berdasarkan penemuan serpihan fiuslaj, ekor dan bahagian enjin bertaburan di kawasan berkenaan.

Nahas ini merupakan kejadian pertama membabitkan model ATR 42 di Indonesia dalam tempoh lebih sedekad, selepas insiden pesawat Trigana Air di Papua pada 2015.



Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Berapakah jumlah keseluruhan mangsa yang telah ditemui dalam nahas pesawat di dekat Gunung Bulusaraung?
    A: Kesemua 10 mayat mangsa telah ditemui oleh pasukan penyelamat Indonesia.
  • Q: Siapakah pemilik pesawat ATR 42-500 yang terlibat dalam nahas tersebut?
    A: Pesawat terbabit milik Indonesia Air Transport (IAT) yang disewa oleh Kementerian Kelautan dan Perikanan.
  • Q: Apakah tindakan yang diambil oleh pasukan penyiasat KNKT bagi mengenal pasti punca nahas pesawat?
    A: Pasukan penyiasat KNKT sedang menyiasat kotak hitam pesawat untuk mengenal pasti punca nahas yang berlaku.



#ATR 42-500 #Gunung Bulusaraung #semua mayat ditemukan #pasukan penyelamat Indonesia