[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Mayat wanita ditemui dalam Tesla milik penyanyi D4vd, siasatan kematian dilancar

Astro Awani 11/09/2025 | 00:00 MYT
D4vd membuat persembahan sambil melemparkan patung Labubus kepada peminat, di tengah siasatan polis berhubung penemuan mayat wanita dalam kereta Tesla miliknya. - Foto X/Rolling Stone
LOS ANGELES: Polis Los Angeles telah melancarkan siasatan kematian selepas menemui mayat wanita dalam keadaan reput di dalam sebuah kereta Tesla yang didaftarkan atas nama penyanyi Amerika Syarikat (AS), D4vd, atau nama sebenarnya David Anthony Burke.


Ringkasan AI
  • Polis Los Angeles menemui bahagian tubuh manusia dalam ruang bonet kereta Tesla yang didaftarkan atas nama penyanyi D4vd, mencetuskan siasatan kematian.
  • Mangsa dipercayai seorang wanita dengan ciri fizikal dan tatu tertentu, namun identiti serta punca kematian masih belum diketahui dan tiada suspek dinamakan.
  • Penyanyi tersebut sedang menjalani jelajah dunia dan dilaporkan membantu siasatan, sementara pihak berkuasa menyiasat sama ada insiden ini melibatkan unsur jenayah.


Penemuan mengejutkan itu berlaku pada Isnin lalu apabila pekerja di sebuah pusat tunda kenderaan di Hollywood melaporkan bau busuk yang datang dari bahagian hadapan kenderaan tersebut.

Pihak berkuasa kemudian menemui bahagian kepala dan badan manusia yang disimpan dalam beg di ruang bonet hadapan Tesla berkenaan.

Menurut Pejabat Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles, mayat tersebut dipercayai milik seorang wanita dengan ketinggian sekitar 5 kaki 2 inci dan berat kira-kira 31 kilogram.

Mangsa memakai baju tube dan legging hitam, serta memiliki tatu bertulis “Shhh…” pada jari telunjuk kanan.

Identiti dan punca kematian masih belum dikenal pasti, dan tiada suspek atau individu berkepentingan dinamakan setakat ini.

Tesla tersebut telah ditunda dari kawasan Hollywood Hills lima hari sebelum penemuan, dan dipercayai telah ditinggalkan tanpa pengawasan.

D4vd, yang kini sedang menjalani jelajah dunia dan baru sahaja membuat persembahan di Minneapolis, dilaporkan sedang memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Pihak polis turut mengesahkan bahawa satu lagi mayat wanita ditemui dalam sebuah Honda Civic yang terbakar di pusat tunda berasingan, namun kedua-dua kes dianggap tidak berkaitan buat masa ini.

D4vd dikenali melalui lagu-lagu viral seperti “Romantic Homicide” dan “Here With Me”, dan mempunyai jutaan pengikut di platform muzik dan media sosial.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menentukan sama ada insiden ini melibatkan unsur jenayah atau kematian secara semula jadi.







#mayat reput #D4vd #Tesla #Hollywood Hills