BANGKOK: Thailand pada Jumaat melaksanakan peraturan baharu yang melarang penyebaran 'berita palsu' mengenai pandemik COVID-19, mencetuskan kegusaran dalam kalangan media yang menyifatkan langkah itu menjejaskan kebebasan bersuara.

Di bawah peraturan baharu, kerajaan akan mengehadkan laporan media dan hantaran di media sosial mengenai pandemik COVID-19, yang boleh menimbulkan panik dan kebimbangan rakyat atau menggugat keamanan dan kestabilan negara.

Peraturan itu juga membenarkan Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi (NBTC) untuk memaksa penyedia perkhidmatan internet mendedahkan alamat IP individu atau entiti yang menyebarkan berita serta maklumat yang boleh menimbulkan pertikaian.

Selain itu, NBTC juga diberi kuasa menarik balik lesen mana-mana agensi media yang melanggar peraturan.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha menandatangani perintah sekatan itu dan ia diwartakan oleh kerajaan pada Khamis.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama kepada Prayuth, enam persatuan media Thailand mendesak perdana menteri untuk membatalkan langkah baharu itu bagi mengelak ia disalahgunakan sebagai instrumen untuk menapis liputan berita dan mencabuli kebebasan bersuara rakyat.

Kenyataan itu menyatakan tindakan kerajaan memperkenalkan langkah itu untuk menangani apa yang dikatakan sebagai 'berita palsu' menunjukkan keengganan untuk mengakui kegagalan pentadbiran ketika berkomunikasi dengan rakyat.

"Kami menyeru semua profesional media dan agensi berita untuk bersatu dan membantah langkah baharu kerajaan," menurut kenyataan itu.

Prayuth berkata langkah itu diperlukan untuk memerangi penyebaran berita palsu terutama ketika Thailand sedang bergelut dengan penularan pandemik terburuk.

Sementara itu, portal dalam talian Thailand "The Standard" menerbitkan surat terbuka di laman Facebooknya yang menegaskan kehilangan nyawa akibat COVID-19 bukanlah berita palsu.

"Hentikan ancaman terhadap kebebasan akhbar," menurut portal itu.

-- BERNAMA