Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
DUNIA

Media AS tolak peraturan akses baharu Pentagon

Bernama 14/10/2025 | 11:00 MYT
PPA berkata peraturan yang dikemas kini masih "kelihatan bertujuan menyekat kebebasan media dan berpotensi menyebabkan wartawan didakwa hanya kerana menjalankan tugas mereka." - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Beberapa organisasi media terkemuka Amerika Syarikat (AS) enggan menandatangani dasar baharu Jabatan Pertahanan yang mengehadkan kandungan laporan wartawan berdaftar, lapor agensi berita Jerman dpa.


Ringkasan AI
  • Beberapa organisasi media utama AS seperti *The New York Times*, *The Washington Post*, *The Atlantic* dan CNN enggan menandatangani dasar baharu Pentagon yang mengehadkan kandungan laporan wartawan berdaftar.
  • Dasar itu dikritik kerana didakwa melanggar Pindaan Pertama Perlembagaan AS, dengan wartawan menyatakan ia menyekat kebebasan media dan berpotensi menghukum mereka atas tugas pemberitaan biasa.
  • Setiausaha Pertahanan AS menjelaskan peraturan baharu hanya bertujuan memperketat akses media dan memastikan wartawan berdaftar tidak mendorong perbuatan jenayah.


Wartawan diberi tempoh sehingga 5 petang (2100 GMT) Selasa untuk bersetuju dengan garis panduan baharu itu, yang disemak semula selepas draf pertama menerima bantahan apabila menyatakan bahawa sebarang maklumat "perlu diluluskan untuk siaran awam oleh pegawai yang diberi kuasa sebelum disiarkan, walaupun ia bukan maklumat sulit," menurut laporan media AS.

Pentagon Press Association, PPA mewakili wartawan yang membuat liputan di jabatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa peraturan yang dikemas kini masih "kelihatan bertujuan menyekat kebebasan media dan berpotensi menyebabkan wartawan didakwa hanya kerana menjalankan tugas mereka."

Antara organisasi yang menolak menandatangani dasar baharu Pentagon ialah "The New York Times", "The Washington Post", "The Atlantic" dan CNN, sambil menegaskan bahawa dasar itu melanggar Pindaan Pertama Perlembagaan AS - yang menjamin hak kebebasan bersuara.

Ketua Pengarang Eksekutif The Washington Post, Matt Murray pada Isnin berkata sekatan yang dicadangkan melemahkan perlindungan di bawah Pindaan Pertama dengan mengenakan kekangan yang tidak perlu terhadap proses pengumpulan dan penyiaran maklumat.

Ketua Editor The Atlantic, Jeffrey Goldberg pula berkata: "Keperluan ini melanggar hak kami di bawah Pindaan Pertama, serta hak rakyat Amerika untuk mengetahui bagaimana sumber dan anggota tentera yang dibiayai pembayar cukai digunakan."

Sementara itu, Ketua Biro The New York Times di Washington, Richard Stevenson dalam kenyataan pada Jumaat berkata dasar baharu itu mengancam untuk menghukum wartawan atas tugas pemberitaan biasa yang dilindungi oleh Pindaan Pertama.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth dalam hantaran di platform media sosial X menjelaskan bahawa peraturan baharu itu hanya menuntut agar "media tidak lagi bebas berkeliaran," "media perlu memakai pas pengenalan yang jelas," dan "media berdaftar tidak dibenarkan mendorong ke arah sebarang perbuatan jenayah."

-- BERNAMA




#Pentagon #Media #Kebebasan Media #Jabatan Perang