DUNIA

Memburu aurora di Kutub Utara

Bernama 14/11/2025 | 01:30 MYT
Cahaya utara dilihat dari Perseverance Trail berdekatan Juneau, Alaska, 12 Nov 2025. (Foto AP)
ROVANIEMI (Finland): Berpeluang menyaksikan keindahan cahaya utara di Bulatan Artik, Kutub Utara yang satu ketika dahulu hanya dapat dilihat di kaca televisyen, tidak ubah seperti mimpi menjadi nyata buat penulis.

Segalanya bermula dengan undangan kerajaan Finland yang membawa penulis ke Helsinki bagi mengikuti program "Climate Solutions from Finland" dari 5 hingga 10 Okt lalu, dan alang-alang ke negara yang terkenal dengan mitos Santa Claus ini penulis memanfaatkan peluang untuk mengembara ke Rovaniemi.

Ibu kota Lapland - wilayah paling utara Finland dan berada dalam Bulatan Artik - Rovaniemi yang turut dikenali sebagai "kediaman Santa Claus", merupakan lokasi ideal bagi menyaksikan cahaya utara atau aurora borealis, fenomena indah cahaya di langit yang hanya muncul di akhir Ogos hingga awal April.

Lapland pula dikenali dengan liputan salji tebal, landskap musim salju ala cerita dongeng kanak-kanak, hidupan liar, aktiviti musim dingin serta kekayaan budaya komuniti Sami, iaitu orang asal yang tinggal di wilayah itu sejak berkurun lalu.



12 JAM DALAM KERETA API



Seusai program rasmi, penulis memulakan pengembaraan ke Rovaniemi - lawatan peribadi secara solo selama tiga hari yang penulis lakukan selepas mendapat kebenaran Kementerian Luar Finland - dengan menaiki kereta api Santa Claus Express, perjalanan sejauh 800 kilometer dan mengambil masa 12 jam.

Sekalipun terletak nun jauh di utara, Rovaniemi antara destinasi pelancongan paling popular di Finland selepas Helsinki. Untuk memudahkan pergerakan di bandar ini, penulis menyewa kereta kerana perkhidmatan bas awamnya tidak kerap selain liputan laluan pula terhad.

Walaupun penulis melawat kawasan ini di penghujung musim luruh, keindahan Rovaniemi tetap menyerlah dengan rimbunan dedaun yang berwarna coklat, jingga dan kuning keemasan membentuk panorama memukau.

Sepanjang tiga hari itu, penulis menghabiskan masa meneroka magis Rovaniemi - perkampungan Santa Claus yang terletak lapan km dari pusat bandar; Muzium dan Pusat Sains Arktikum (tidak sampai satu km di luar pusat bandar); Ounasvaara Hill, kira-kira empat km dari bandar dan merupakan lokasi ideal untuk menikmati keindahan bandar, sementara hutan yang mengelilinginya tempat terbaik bagi menyaksikan matahari terbenam; dan menonton "pertunjukan" cahaya utara di Appuka Resort, 16.3 km dari pusat bandar Rovaniemi.

Muzium dan Pusat Sains Arktikum. - Facebook Arktikum


BERTEMU "SANTA CLAUS", RUSA KUTUB



Kampung Santa Claus yang terletak di Bulatan Artik (turut dipanggil Garisan Artik), merupakan pintu masuk simbolik ke bahagian paling utara dunia. Perkampungan ini tidak begitu sesak pada musim luruh, membolehkan penulis menjelajah dengan tenang sambil benar-benar menikmati suasana di situ.

Di kampung ini, penulis diberikan sijil sebagai bukti yang penulis telah melintasi Garisan Artik - garisan paling selatan di Hemisfera Utara. Penulis juga berpeluang bertemu dengan "Santa Claus", membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanak menonton kartun ketika Hari Krismas yang menampilkan watak mitos terkenal itu.

Meneruskan langkah ke pejabat pos Santa - Santa Claus' Main Post Office - penulis membeli beberapa keping poskad untuk diutuskan kepada rakan-rakan, dan akan dihantar pada Disember 2025 sebagai tanda ingatan musim cuti perayaan.

Lawatan ke perkampungan Santa Claus tidak lengkap jika tidak ke ladang rusa kutub dan di situ penulis berpeluang menunggang seekor rusa kutub jantan berusia tujuh tahun. Bersiar-siar menunggang rusa kutub merentasi hutan pain, sememangnya satu pengalaman Artik yang unik. Hanya menunggang sejauh 400 meter, iaitu sekitar tujuh ke lapan minit, penulis tetap berasa teruja biarpun rusa kutub itu cuma menarik pedati beroda dan bukannya kereta luncur salji tradisional disebabkan ketiadaan salji di atas tanah semasa musim luruh.

Sementara itu, Muzium dan Pusat Sains Arktikum menawarkan sorotan sekilas pandang kehidupan di atas Garisan Artik. Di muzium ini pengunjung diperlihatkan sejarah dan budaya Finland, khususnyan kisah Lapland. Pamerannya menonjolkan adat resam masyarakat Sami, pakaian mereka yang berwarna-warni, hasil kraf serta hubungan mendalam mereka dengan alam semula jadi.

Muzium ini juga menerangkan fenomena aurora borealis, bagaimana dan mengapa cahaya utara itu muncul serta mengapa Rovaniemi dianggap antara tempat terbaik di dunia untuk menyaksikan keajaiban alam tersebut.

Di Kampung Santa Claus, penulis diberi sijil sebagai bukti telah melintasi Garisan Artik. - Facebook Santa Claus Village


TARIAN CAHAYA DI LANGIT



Akhir sekali, Apukka Resort. Lokasi ini antara yang terbaik untuk menyaksikan aurora borealis kerana terletak jauh dari cahaya bandar dan menawarkan pemandangan langit luas tanpa halangan, sekali gus memberikan pengalaman yang sempurna.

Aurora borealis ialah fenomena cahaya semula jadi yang muncul di langit malam di kawasan berlatitud tinggi berhampiran Artik. Fenomena ini berlaku apabila zarah bercas daripada matahari bertembung dengan gas di lapisan atas atmosfera bumi. Apabila zarah-zarah ini berinteraksi dengan molekul oksigen dan nitrogen di atmosfera, tenaga yang dilepaskan menghasilkan cahaya berkilauan "menari-nari" di langit dalam rona hijau, merah jambu, ungu dan biru.

Misi memburu aurora penulis bermula pada 10.30 malam, memandu perlahan meninggalkan pusat bandar menuju Appuka Resort. Keadaan jalan yang lurus dan aliran trafik rendah memudahkan perjalanan penulis yang dibantu aplikasi navigasi Waze. Resort ini tidak jauh dari jalan utama dan selepas 15 minit memandu, penulis tiba di destinasi.

Mata penulis mula bertumpu di langit sekitar 11 malam, dan sejurus selepas tengah malam kerlipan cahaya hijau muncul di kaki langit.

Di awalnya aurora itu kelihatan seperti percikan cahaya, namun tidak lama kemudian ia kian melebar dan akhirnya seluruh langit dipenuhi paparan cahaya berwarna-warni menakjubkan yang berlangsung selama kira-kira 20 minit.

Detik paling mengagumkan tiba apabila tirai cahaya itu melintas tepat di atas kepala, menari dan berubah-ubah antara rona hijau serta merah jambu lembut, beralun indah merentasi langit, satu persembahan menakjubkan yang sempat penulis rakam dengan telefon pintar.




Aurora borealis kelihatan bersinar di langit berhampiran Rumah Api St Mary di Whitley Bay, pantai timur laut England, 12 Nov 2025. (Foto AP)


Kiranya penulis bernasib baik - dan amat bersyukur - kerana malam itu menjadi satu-satunya malam penulis dapat menyaksikan keindahan sebenar fenomena semula jadi berkenaan. Malam berikutnya cuaca mendung disertai hujan renyai.

Ketika berdiri di bawah langit Artik dengan ombak cahaya beralun indah di atas kepala, penulis berasakan keletihan ketika menempuh perjalanan jauh dari Helsinki untuk tiba di pelosok dunia terpencil ini terbayar.

PENGALAMAN ARTIK SEBENAR



Rovaniemi memberikan kenangan tidak terlupakan kepada penulis, namun pada masa sama bandar ini juga "mengajar" penulis akan maksud "pengalaman Artik sebenar" dengan tiupan kuat angin kering Kutub Utara ketika peralihan dari musim luruh ke musim sejuk.

Bagi seseorang seperti penulis yang datang dari negara tropika, kesejukannya hampir tidak tertanggung, menembusi lapisan pakaian penulis hingga ke kulit. Tangan pula terasa bagaikan menggenggam ais. Suhu terendah yang penulis alami ialah tiga darjah Celsius, namun menurut aplikasi cuaca, terasa seperti -4 darjah Celsius.

Sekalipun musim luruh masih bersisa, lapisan nipis salji menyelimuti kerusi di luar tempat penginapan penulis sebelum mencair pada keesokan paginya memberi bayangan kesejukan musim dingin yang bakal tiba.

Untuk penulis kembali lagi ke sini mungkin sukar, namun ketika menyaksikan persembahan cahaya menakjubkan di langit Artik itu, penulis tahu itulah detik yang tidak akan luput dari ingatan sampai hujung nyawa.


-- BERNAMA




#Aurora #kutub utara #cahaya utara #Finland