AS Memilih: Tiada aduan mengenai penipuan diterima di Wisconsin

Bernama
November 5, 2020 22:55 MYT
Proses pengundian undi berjalan di bangunan Majlis Perbandaran Kenosha pada hari pengundian di Kenosha, Wisconsin, 3 Nov, 2020. (Foto AP)
WASHINGTON: Pentadbir Suruhanjaya Pilihan Raya negeri Wisconsin, Megan Wolfe, pada Khamis berkata pihaknya setakat ini belum menerima sebarang aduan mengenai penipuan atau pelanggaran peraturan.
"Kami buat masa ini belum terima apa-apa laporan mengenai sebarang pelanggaran peraturan," kata Wolfe, menurut Agensi Sputnik.
Sebelum ini, peguam Trump, Rudy Giuliani pada sidang media berkata kempen presiden akan menyaman bandar Philadelphia dan memfailkan tuntutan mahkamah di Wisconsin, mendakwa berlakunya penipuan oleh Parti Demokrat.
Pasukan peguam Trump juga mengemukakan tuntutan mahkamah di Nevada.
Kempen Trump menuduh kira-kira 10,000 pengundi tetap mengundi di Nevada walaupun tidak lagi tinggal di negeri itu.
Undang-undang Nevada melarang individu yang tidak berada di negeri ini selama 30 hari sebelum hari pilihan raya untuk mengundi.
-- BERNAMA
#AS memilih #tuntutan mahkamah #penipuan #pilihan raya #Wisconsin #Nevada