[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
INTERNATIONAL

Mengenang Tun Abdullah Ahmad Badawi: Legasi Badawi akan terus jadi inspirasi generasi akan datang - PM Kemboja

Bernama 16/04/2025 | 02:30 MYT
Allahyarham Abdullah disifatkan Hun Manet sebagai seorang pemimpin ulung Malaysia dan sahabat akrab kepada Kemboja. - Gambar fail Bernama
PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi, menyertai para pemimpin serantau lain dalam mengenang jasa dan sumbangannya.
Dalam satu surat kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa, Hun Manet berkata, kepimpinan Tun Abdullah memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi negara serta meninggalkan legasi yang akan terus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang, menurut laporan Agence Kampuchea Presse.
"Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan seorang pemimpin ulung Malaysia dan sahabat akrab kepada Kemboja.
"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Kemboja, saya merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Malaysia, serta kepada ahli keluarga Tun Abdullah Ahmad Badawi atas kehilangan besar ini.
"Semoga rohnya tenang di sana," kata Hun Manet seperti yang dilaporkan agensi berita kebangsaan negara itu.
Allahyarham Abdullah, 85, merupakan Perdana Menteri Malaysia kelima.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada petang Isnin dan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur, Selasa.
-- BERNAMA
#Tun Abdullah Ahmad Badawi #Pak Lah meninggal dunia #PM Kemboja #Hun Manet #legasi Badawi