INTERNATIONAL
Menjelang Festival Filem Cannes, hampir 400 tokoh perfileman gesa kekejaman di Gaza dihentikan

Hampir 400 penggiat seni dan tokoh industri perfileman menandatangani surat terbuka menyeru kekejaman di Gaza dihentikan. - Gambar fail AP
ISTANBUL: Hampir 400 penggiat seni dan tokoh industri perfileman, termasuk pemenang Anugerah Oscar dan Palme d'Or, menandatangani surat terbuka menyeru supaya kekejaman di Gaza dihentikan serta menggesa komuniti filem antarabangsa agar tidak terus berdiam diri terhadap penderitaan dan kematian di wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Permintaan para penandatangan adalah jelas - mereka menyeru rakan seindustri dan masyarakat dunia untuk bangkit menolak kematian, kemusnahan dan kehancuran yang berlaku di depan mata kita di Gaza, serta menolak propaganda yang membenarkan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin dan ramai lagi," menurut kenyataan dikeluarkan sempena penerbitan surat terbuka itu pada Selasa.
Surat berkenaan diumumkan menjelang pembukaan Festival Filem Cannes yang turut berlangsung Selasa, dan turut menyorot pembunuhan jurufoto Palestin, Fatma Hassona, oleh tentera Israel.
Hassona dilaporkan terbunuh sehari selepas diumumkan dokumentari mengenai kehidupannya bertajuk Put Your Soul on Your Hand and Walk terpilih untuk ditayangkan dalam satu segmen khas filem bebas di festival berprestij itu.Antara yang menandatangani surat berkenaan termasuk pelakon terkenal seperti Javier Bardem, Mark Ruffalo, Susan Sarandon, Viggo Mortensen, Richard Gere dan Cynthia Nixon, serta pengarah tersohor Pedro Almodovar.
Surat itu turut disokong pemenang anugerah Cannes dan pembikin filem serta pelakon ternama antarabangsa seperti Justine Triet, Adele Exarchopoulos, Mike Leigh, Aki Kaurismaki, Lukas Dhont, Xavier Dolan, Costa-Gavras, Jonathan Glazer, Ruben Ostlund, Isabel Coixet, David Cronenberg, Julie Christie dan Fernando Meirelles.
Para penandatangan mengecam tindakan yang disifatkan sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin, dan menuntut penghentian segera terhadap apa yang mereka gelar sebagai genosid di Gaza.
Tentera Israel menyambung semula serangan ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac lepas, yang mengorbankan 2,780 nyawa dan mencederakan hampir 7,700 orang, sekali gus menamatkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang bermula pada Januari.
November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas kesalahan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan perang yang dilancarkan ke atas wilayah terbabit.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami