INTERNATIONAL

Menteri Ekonomi ASEAN tolak pengiraan tarif AS, anggap regresif untuk pertumbuhan

Firdaus Azil 10/04/2025 | 07:15 MYT
MITI berkata, pandangan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) yang berlangsung di ibu negara pada Khamis.
KUALA LUMPUR: Menteri-menteri Ekonomi ASEAN dan Timor Leste sependapat menolak kaedah pengiraan dan tarif timbal balas Amerika Syarikat - dengan nilai 10 hingga 40 peratus – yang akan mewujudkan impak terhadap trajektori pembangunan dan pertumbuhan ekonomi rantau ini.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, pandangan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) yang berlangsung di ibu negara pada Khamis.
MITI berkata, AEM berpandangan tarif AS itu akan bersifat regresif terhadap usaha mengintegrasikan ekonomi ASEAN yang dibina berasaskan sistem berdasarkan perundangan, sejak penubuhannya pada 1967.
“AEM juga bersetuju bahawa pengumuman Donald Trump pada 9 April berhubung penangguhan tarif timbal balas selama 90 hari, dan pada masa yang sama mengenakan tarif asas 10 peratus, membuka ruang untuk ASEAN mencari penyelesaian yang pragmatik, menerusi langkah berhemah dan bijaksana.
“Negara anggota ASEAN juga bersama dalam pandangan bahawa tindakan pembalasan bukan satu pilihan, tetapi Mesyuarat Khas AME menekankan kepentingan rundingan secara konstruktif, tidak membalas dendam, dan memandang ke hadapan dengan AS.
“Mesyuarat itu juga bersetuju dengan pandangan Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang memberi amaran bahawa perang dagang China-AS akan menimbulkan risiko yang signifikan dan boleh menjurus ke arah pengurangan Keluaran Dalam Negara Kasar dunia jangka panjang,” kata MITI.
Terdahulu dalam kenyataan berasingan, AEM berkata mereka telah mencapai konsensus untuk tidak bertindak balas terhadap tarif yang dikenakan Amerika Syarikat ke atas rantau ini, sebaliknya lebih menekankan kepentingan dialog yang telus dan konstruktif.
AEM berkata, mereka mengulangi pendirian untuk terus bekerjasama dengan AS di bawah Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-AS (TIFA), dan Peluasan Rundingan Ekonomi (E3) untuk meneroka penyelesaian terhadap isu kepentingan bersama.
Dalam pada itu MITI berkata, mesyuarat khas AEM turut bersetuju dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas GeoEkonomi ASEAN, yang akan menjadi platform melibatkan pakar ekonomi, bagi ASEAN membincangkan formulasi polisi terbaik, untuk mengukuhkan rantau ini.
“Pendirian ini akan dibentangkan sewaktu Mesyuarat Khas Pemimpin ASEAN kelak, yang akan membincangkan langkah mitigasi terhadap gangguan perdagangan serantau, rangkaian rantai bekalan, serta pelaburan rentas sempadan.
"Ini bagi memastikan ASEAN terus menjadi hab yang stabil, berdaya saing, dan menarik untuk pelaburan dan perdagangan global. Kerajaan Malaysia akan terus berunding dengan AS untuk mencari penyelesaian yang adil dan baik berhubung isu tarif timbal balas ini,” kata MITI lagi.
#ASEAN25 #MITI #tarif AS #Donald Trump #terkini