DUNIA

Menteri India tegas isu minyak Rusia, India, tidak paksa sesiapa beli

Bernama 24/08/2025 | 03:00 MYT
New Delhi tidak pernah memaksa sesiapa membeli minyak dan produk bertapis dari Rusia, kata Subrahmanyam Jaishankar.
MOSCOW: Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar ketika mengulas mengenai tarif Amerika Syarikat (AS) sebanyak 25 peratus terhadap import dari India ekoran pembelian minyak dari Rusia menegaskan, New Delhi tidak pernah memaksa sesiapa membeli minyak dan produk bertapis.

"Jika anda mempunyai masalah membeli minyak atau produk bertapis dari Rusia, jangan beli.

"Tetapi Eropah membeli, Amerika juga membeli. Kalau tidak suka, jangan beli daripada kami," kata Jaishankar yang dipetik oleh akhbar Economic Times, menurut laporan Sputnik/RIA Novosti.

Terdahulu, Penasihat Perdagangan Kanan White House, Peter Navarro menyatakan pandangan bahawa India tidak perlu membeli minyak Rusia untuk kegunaan domestik, sambil menegaskan bahawa wang pengguna Amerika yang membeli barangan India akhirnya mengalir ke Rusia.

Pada akhir Julai, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif 25 peratus ke atas import dari India, dengan alasan kadar tarif tinggi dari New Delhi, halangan perdagangan, serta "kerjasama dengan Rusia."

Tarif itu mula berkuat kuasa pada 7 Ogos.

Pada masa sama, Trump turut menandatangani perintah eksekutif mengenakan tarif tambahan 25 peratus ke atas import dari India berkaitan pembelian minyak Rusia, yang akan berkuat kuasa pada 27 Ogos.

Sebelum itu, ahli politik dan diplomat India berpendapat, isu tarif dapat diselesaikan menerusi kerangka perjanjian perdagangan masa depan antara kedua-dua negara.

New Delhi dan Washington dilaporkan telah mengadakan beberapa pusingan perbincangan mengenai garis besar perjanjian perdagangan itu.

Bagaimanapun, isu utama yang masih menjadi penghalang menurut laporan media ialah desakan AS supaya India membenarkan kemasukan tanaman diubah suai secara genetik (GMO) ke dalam pasaran pertaniannya.

India menolak cadangan itu atas alasan ia boleh menjejaskan petani serta mengancam keselamatan makanan.

Walaupun kedua-dua pihak berusaha mencari titik persamaan, tuntutan itu dilaporkan terus menghalang pemeteraian perjanjian akhir.

-- BERNAMA



#Menteri Luar India #beli minyak Rusia #tarif Trump #Donald Trump #Subrahmanyam Jaishankar