DUNIA

Menteri Ireland gesa EU sertai larangan import dari penempatan Israel

Bernama 15/07/2025 | 11:36 MYT
Aktiviti penempatan Israel di Tebing Barat adalah antara isu utama dalam hubungan Israel dengan masyarakat antarabangsa dan Pihak Berkuasa Palestin. - Gambar fail/ Reuters
MOSCOW: Menteri Negara Hal Ehwal Eropah dan Pertahanan Ireland Thomas Byrne, merancang untuk menggesa menteri dari negara anggota Kesatuan Eropah (EU) agar menyertai larangan negara itu terhadap import barangan dari penempatan Israel di Tebing Barat, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik laporan Financial Times pada Selasa.


Ringkasan AI
  • Menteri Ireland, Thomas Byrne, merancang untuk menggesa negara anggota EU agar menyertai larangan import barangan dari penempatan Israel di Tebing Barat bagi meningkatkan tekanan terhadap Israel.
  • Menteri Luar EU dijangka bermesyuarat di Brussels untuk membincangkan bantuan kepada Palestin dan kemungkinan sekatan terhadap Israel susulan gesaan sembilan negara anggota EU agar perdagangan dengan penempatan Israel dihentikan.
  • Aktiviti penempatan Israel di Tebing Barat terus menjadi isu utama dalam hubungan antarabangsa dan konflik dengan Pihak Berkuasa Palestin.


"Itu akan menjadi jauh lebih berkesan jika datang dari EU dan akan memberikan tekanan yang besar," kata Byrne kepada Financial Times.

Menteri Luar EU dijangka bertemu di Brussels lewat hari ini untuk membincangkan perjanjian dengan Kerajaan Israel bagi meningkatkan bantuan kepada Palestin, serta kemungkinan mengenakan sekatan terhadap Israel, menurut akhbar itu.

Pada akhir Jun, portal berita Euractiv melaporkan, dengan memetik surat yang dialamatkan kepada Ketua Dasar Luar EU Kaja Kallas bahawa Belgium, Finland, Ireland, Luxembourg, Poland, Portugal, Slovenia, Sepanyol dan Sweden menggesa blok itu agar menghentikan perdagangan dengan penempatan Israel di Tebing Barat Sungai Jordan.

Aktiviti penempatan Israel di Tebing Barat adalah antara isu utama dalam hubungan Israel dengan masyarakat antarabangsa dan Pihak Berkuasa Palestin.

-- BERNAMA


#EU #Israel #Tebing Barat #larangan import