DUNIA
Menteri Israel cabar status quo, dakwa berdoa di kawasan Masjid Al-Aqsa

Itamar Ben-Gvir mencetuskan kontroversi selepas mendakwa berdoa di kawasan Masjid Al-Aqsa, mencabar peraturan status quo yang melarang ibadah bukan Muslim. -Foto X
BAITULMUQADDIS: Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir mencetuskan kontroversi pada Ahad selepas mendakwa berdoa di kawasan Masjid Al-Aqsa, sekali gus mencabar peraturan status quo yang telah lama dipersetujui di antara pihak berkuasa Israel dan Jordan.
Ringkasan AI
- Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir mencetuskan kontroversi selepas mendakwa berdoa di kawasan Masjid Al-Aqsa, mencabar peraturan status quo yang melarang ibadah bukan Muslim.
- Lawatan sempena Tisha BAv itu disertai lebih 1,200 individu dan mendapat kecaman daripada Presiden Palestin serta gesaan campur tangan antarabangsa.
- Tindakan Ben-Gvir dilihat sebagai usaha mengubah dasar sedia ada, berpotensi mencetuskan ketegangan di kawasan sensitif Kota Lama Baitulmuqaddis.
Rakaman video yang disiarkan oleh kumpulan Temple Mount Administration menunjukkan Ben-Gvir mengetuai sekumpulan individu berjalan di dalam kawasan kompleks tersebut.
Beberapa video lain yang tular turut menunjukkan dia berdoa, namun kandungan itu belum dapat disahkan secara rasmi oleh pihak media bebas.
Lawatan tersebut berlangsung sempena Tisha B’Av, hari puasa masyarakat Yahudi yang memperingati kemusnahan dua kuil purba yang pernah berdiri di lokasi berkenaan.
Menurut pihak Waqf, seramai 1,250 individu termasuk Ben-Gvir telah memasuki kawasan itu dan didakwa berdoa, menjerit serta menari.
Dalam kenyataan rasmi, Ben-Gvir menyatakan dia berdoa untuk kemenangan Israel ke atas Hamas dan pembebasan tebusan Israel yang ditahan di Gaza.
Dia turut mengulangi gesaan agar Israel menawan sepenuhnya wilayah Gaza.
Tindakan Ben-Gvir mendapat kecaman keras daripada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, yang menyifatkan lawatan itu sebagai melampaui batas.
Jurucakapnya, Nabil Abu Rudeineh, menyeru komuniti antarabangsa khususnya Amerika Syarikat agar segera campur tangan bagi menghentikan provokasi oleh kerajaan sayap kanan Israel dan membawa masuk bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Kerajaan Israel secara rasmi masih mengekalkan larangan ibadah bukan Muslim di kawasan Masjid Al-Aqsa.
Namun lawatan dan kenyataan Ben-Gvir dilihat sebagai usaha berterusan untuk mengubah dasar tersebut, yang berpotensi mencetuskan ketegangan dan keganasan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Tiada insiden keganasan dilaporkan setakat petang Ahad, namun pihak keselamatan terus memantau keadaan di sekitar Kota Lama Baitulmuqaddis.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami