SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada Khamis berkata S Iswaran telah meletak jawatan sebagai Menteri Kabinet dan juga menamatkan keanggotaannya dalam People's Action Party (PAP).

Lee menyatakan bahawa Pendakwa Raya pada Khamis telah memfailkan pertuduhan jenayah terhadap Iswaran di Mahkamah.

Menurut beliau, pada 16 Jan 2024, selepas Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) memberi notis rasmi kepada Iswaran mengenai pertuduhan itu, Iswaran mengutus surat kepadanya menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Kabinet dan menamatkaan keanggotaannya dalam PAP.

"Beliau juga memaklumkan kepada saya bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen (MP) bagi Kawasan Perwakilan Kumpulan West Coast," menurut Lee dalam satu kenyataan.

Lee berkata pada 17 Jan, Iswaran seterusnya memaklumkan kepadanya bahawa beliau akan memulangkan semua wang yang diterima melalui gaji sebagai Menteri dan elaun sebagai Ahli Parlimen sejak siasatan CPIB bermula pada Julai 2023.

"Memandangkan Iswaran kini telah meletak jawatan, beliau tidak lagi menerima gaji atau elaun daripada Kerajaan," kata Lee.

Lee berkata beliau menjawab surat Iswaran pada 17 Jan untuk menerima peletakan jawatannya dan menerima keputusannya untuk memulangkan wang itu.

Perdana menteri menegaskan bahawa Kerajaan Singapura telah menangani kes itu dengan tegas mengikut undang-undang dan akan terus berbuat demikian.

"Saya bertekad untuk mengekalkan integriti Parti dan Kerajaan serta reputasi kami akan kejujuran dan tidak korup. Rakyat Singapura mengharapkan tidak kurang daripada itu," kata Lee.

Media tempatan melaporkan bahawa Iswaran didakwa di mahkamah pada Khamis atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah dan mendapatkan suapan sebagai penjawat awam, beberapa bulan selepas siasatan ke atasnya didedahkan kepada umum.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap 27 pertuduhan secara keseluruhannya - dua rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah, satu menghalang proses keadilan dan 24 pertuduhan mendapatkan suapan sebagai penjawat awam di bawah Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA