[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Menteri Kebudayaan Korea Selatan jamin keselamatan pelancong

Bernama 09/12/2024 | 22:15 MYT
Kerajaan Korea Selatan akan melakukan yang terbaik untuk keselamatan dan keselesaan semua pelawat ke negara ini. - Gambar hiasan/Korea Tourism Organization
SEOUL: Menteri Kebudayaan Korea Selatan berikrar pada Isnin untuk memastikan keselamatan pelancong di tengah-tengah kebimbangan berhubung kemelut politik susulan pengisytiharan undang-undang tentera oleh Presiden Yoon Suk Yeol minggu lepas yang menimbulkan kontroversi, lapor agensi berita Yonhap.

Menteri Kebudayaan, Yu In-chon berkata: "Kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk keselamatan dan keselesaan semua pelawat ke negara ini," semasa forum perniagaan pelancongan Korea Selatan-Jepun yang diadakan di sini.

Naib Menteri Kebudayaan, Jang Mi-ran turut memberi jaminan bahawa rakyat Korea Selatan meneruskan kehidupan harian mereka seperti biasa dan destinasi pelancongan utama beroperasi sepenuhnya.

Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan berterusan berhubung situasi politik negara selepas Parlimen gagal mendakwa Yoon pada Sabtu, yang kini berdepan kritikan awam hebat berikutan kekacauan yang tercetus akibat pengisytiharan undang-undang tentera itu.

Yoon secara tiba-tiba mengisytiharkan undang-undang tentera pada Selasa lepas tetapi menarik baliknya beberapa jam kemudian selepas Ahli Parlimen mengundi untuk menamatkannya.

- BERNAMA




#Korea Selatan #keselamatan pelancong #Menteri Kebudayaan Korea Selatan #Presiden Yoon Suk Yeol