RAMALLAH: Menteri Kesihatan Palestin Mai Al-Kaila pada Ahad menyeru Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) untuk mendesak Israel menghentikan serangan ke atas Semenanjung Gaza.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan mesyuarat tergempar dengan perwakilan ICRC di Baitulmaqdis dan penyelaras hal ehwal kesihatan, lapor Agensi Anadolu.

"Nyawa beratus-ratus pesakit kini terancam akibat pengeboman dan pengepungan. Hospital tiada bekalan elektrik akibat kehabisan bahan api selain kekurangan bekalan ubat-ubatan dan keperluan asas.

"Situasi kesihatan semakin teruk di Semenanjung Gaza dan serangan ke atas sistem kesihatan menyaksikan 23 daripada 35 hospital terpaksa menghentikan operasi sepenuhnya.

"Tentera Israel mengepung banyak hospital dan menghalang keluar masuk kakitangan perubatan, paramedik dan pesakit," kata Al-Kaila.

Al-Kaila berkata rakyat di Semenanjung Gaza kini menjalani kehidupan yang tragis, tiada lagi tempat yang selamat, air, makanan, keselamatan dan penjagaan kesihatan.

Beliau sekali lagi menyeru semua institusi antarabangsa dan organisasi hak asasi manusia untuk melaksanakan tanggungjawab mereka menghentikan pencerobohan Israel serta segera membenarkan kemasukan bantuan kesihatan dan bahan api ke hospital.

Pihak yang berkenaan juga bertanggungjawab untuk memudahkan pesakit menerima rawatan di luar Gaza, termasuk membenarkan pasukan sukarelawan perubatan, bekalan air dan makanan masuk ke Semenanjung Gaza.

-- BERNAMA