Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Menteri Luar China, India bincangkan isu pembangunan dan sempadan

Bernama 19/08/2025 | 21:10 MYT
Wang Yi dan Jaishankar mengadakan perbincangan mengenai isu pembangunan dan sempadan kedua-dua negara, di New Delhi, pada Selasa. - Foto China Media Group/BERNAMA
NEW DELHI: Menteri Luar China Wang Yi dan rakan sejawatnya dari India, Subrahmanyam Jaishankar mengadakan perbincangan mengenai isu pembangunan dan sempadan kedua-dua negara di sini semalam.

Wang berkata, konsensus yang dicapai Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam pertemuan di Kazan, Rusia pada Oktober tahun lepas merupakan satu kejayaan signifikan yang boleh membuka lembaran baharu dalam hubungan kedua-dua negara.

"Tahun ini ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik China-India.

"Kedua-dua pihak perlu mengambil iktibar daripada pengalaman dalam tempoh 75 tahun lepas, melihat satu sama lain sebagai rakan kongsi yang boleh membawa peluang kerjasama dan bukannya pesaing atau ancaman, menumpukan sumber yang berharga daripada pihak masing-masing untuk pembangunan dan perkembangan, di samping meneroka pendekatan yang betul untuk diplomasi kejiranan yang menekankan prinsip saling menghormati dan mempercayai, hidup secara damai, bekerjasama untuk pembangunan dan situasi sama-sama menang.

"China konsisten dalam memegang konsep 'muhibah, ikhlas, manfaat bersama, keterangkuman dan komuniti berkongsi nasib', dan bersedia bersama-sama dengan negara-negara jiran termasuk India meningkatkan usaha pada lima aspek melibatkan keamanan, ketenteraman, kemakmuran, keindahan dan persahabatan," kata Wang.

Beliau berkata China dan India perlu memperkukuh keyakinan, mengekalkan trend pembaikpulihan hubungan bilateral, dan sebagai dua ekonomi utama dunia yang berlatarbelakangkan tamadun Oriental mewujudkan kepastian dan kestabilan yang sangat diperlukan oleh Asia bahkan seluruh dunia.

Sementara itu, Jaishankar berkata: "Hubungan India-China yang stabil, bekerjasama, dan berwawasan selaras dengan kepentingan kedua-dua negara. Taiwan adalah sebahagian wilayah China."

Beliau berkata India bersedia memanfaatkan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik kedua-dua negara sebagai satu peluang untuk terus memupuk rasa saling percaya dengan China dalam bidang politik, meningkatkan kerjasama saling menguntungkan dalam bidang ekonomi dan perdagangan, mendorong interaksi sosiobudaya serta bersama-sama melindungi keamanan dan ketenteraman di kawasan sempadan.

"India memberi sokongan yang sepenuhnya kepada China dalam menganjurkan Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Tianjin, dan bersedia untuk meningkatkan koordinasi dan kerjasama dengan China dalam mekanisme multilateral seperti BRICS," kata Jaishankar.

- BERNAMA-CMG




#wang yi #China #India #Subrahmanyam Jaishankar #ulang tahun ke-75