DUNIA
Menteri Luar Colombia tolak visa selepas Washington batalkan visa Presiden

Villavicencio (gambar) mengakui hubungan dengan AS kini "tegang" selepas Jabatan Negara AS pada Jumaat mengumumkan pembatalan visa Petro. - Foto media sosial
BOGOTA (Colombia): Menteri Luar Negeri Colombia, Rosa Villavicencio mengumumkan beliau secara sukarela menolak visa Amerika Syarikat (AS) sebagai tanda solidariti dengan Presiden Gustavo Petro, selepas visanya sendiri dibatalkan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Tindakan ini adalah lambang maruah terhadap keputusan tidak boleh diterima untuk membatalkan visa Presiden Colombia," kata Villavicencio.
Beliau mengakui hubungan dengan AS kini "tegang" selepas Jabatan Negara AS pada Jumaat mengumumkan pembatalan visa Petro kerana kononnya "tindakan berbaur hasutan" semasa menyertai protes jalanan pro-Palestin di New York.
Petro telah berucap kepada sekumpulan penunjuk perasaan, menyeru tentera AS supaya tidak mematuhi arahan Trump.
Ketika berada di New York untuk Perhimpunan Agung PBB, "Saya menyeru semua tentera Amerika Syarikat agar tidak menghalakan senjata kepada kemanusiaan. Ingkari arahan Trump! Patuhilah arahan kemanusiaan!" katanya.
Sekembalinya ke Bogota, Petro mengesahkan pembatalan visanya tetapi memandang ringan perkara itu.
"Saya tidak lagi memiliki visa untuk ke AS. Saya tidak peduli," katanya sambil menyebut status beliau sebagai warganegara Eropah membolehkannya memasuki AS tanpa visa.
"Saya bebas, dan setiap insan mesti bebas di muka bumi ini," katanya.
Pembatalan visa ini adalah perkembangan terbaharu dalam ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara.
Menteri Dalam Negeri Colombia, Armando Benedetti turut menyokong Petro dengan mencadangkan di X bahawa visa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sepatutnya dibatalkan.
"Tetapi kerana empayar melindunginya, maka tindakan ini ditujukan kepada satu-satunya presiden yang cukup berani menyatakan kebenaran di hadapannya," tulis Benedetti.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami