Menteri Luar G7 gesa China henti curi hak harta intelektual untuk keuntungan komersial

Bernama
April 18, 2023 09:33 MYT
Menteri luar dari Kumpulan Tujuh itu menggesa China supaya bertindak sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab. - Gambar hiasan
TOKYO: Diplomat kanan negara-negara G7 pada Selasa merayu China berhenti daripada mencuri harta intelek untuk keuntungan komersial, lapor Sputnik.
"Kami menggalakkan China supaya mengekalkan komitmennya untuk bertindak secara bertanggungjawab di alam siber, termasuk mengelak daripada menjalankan atau menyokong perbuatan mencuri harta intelek yang dibolehkan siber untuk keuntungan komersial," kata menteri-menteri luar G7 dalam satu kenyataan kolektif yang dikeluarkan selepas pertemuan mereka di bandar Karuizawa, Jepun.
Menteri luar dari Kumpulan Tujuh itu menggesa China supaya bertindak sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab.
"Untuk kepentingan semua negara, termasuk China, perlu ada persekitaran perniagaan yang telus, boleh dijangka serta adil. Aktiviti perniagaan yang sah dan kepentingan syarikat asing mesti dilindungi daripada amalan tidak adil, antipersaingan dan amalan bukan pasaran, termasuk melalui pemindahan teknologi yang tidak sah atau pendedahan data sebagai pertukaran untuk akses pasaran," menurut kenyataan menteri itu.
Mesyuarat menteri G7 berlangsung dari 16 hingga 18 April di bandar peranginan Karuizawa di wilayah Nagano, Jepun.
--BERNAMA-SPUTNIK
#G7 #China #hak intelektual #keuntungan komersial #harta intelek