DUNIA
Menteri Luar Iran persoal keikhlasan AS, dakwa diplomasi dikhianati
Araghchi menegaskan, Iran tidak tahu bagaimana lagi boleh mempercayai Amerika. - Gambar fail AP
GENEVA: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi meluahkan rasa sangsi terhadap keikhlasan pentadbiran Amerika Syarikat (AS), sambil mendakwa sukar untuk mempercayai negara itu selepas apa yang disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap usaha diplomatik.
Dalam temu bual bersama NBC News di Geneva, Araghchi menegaskan, terpulang kepada Washington untuk membuktikan kesungguhan mereka dalam mencari penyelesaian melalui rundingan.
“Sama ada mereka (AS) benar-benar mahu selesaikan isu ini secara diplomatik atau sebenarnya sudah lama merancang untuk menyerang Iran – dan rundingan hanyalah satu alasan untuk menutup niat sebenar mereka,” katanya.
“Kami tidak tahu bagaimana lagi kami boleh mempercayai mereka. Apa yang berlaku sebenarnya adalah satu pengkhianatan terhadap diplomasi,” tegas beliau.
Untuk beberapa bulan, pentadbiran Presiden Donald Trump telah terlibat dalam rundingan bersama Iran bagi mencapai kesepakatan berkaitan program nuklear negara itu.
Namun, proses tersebut digantung selepas Israel melancarkan serangan terhadap Iran – hanya beberapa hari sebelum pusingan baharu rundingan dijadualkan berlangsung di Oman.
Araghchi berada di Geneva bagi menghadiri perbincangan bersama pemimpin-pemimpin Eropah dalam usaha mencari jalan damai bagi menamatkan konflik yang kian meruncing. - Agensi
#Iran
#Amerika Syarikat
#Iran persoal keikhlasan AS
#diplomasi dikhianati
#abbas araghchi
#Donald Trump