ISTANBUL: Menteri Luar Iran Abbas Araghchi akan terlepas mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Selasa disebabkan isu berkaitan visa Amerika Syarikat (AS), kata jurucakap Kementerian Luar Iran pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi yang memetik IRNA.
“Kami berdepan isu berkaitan visa AS,” kata Esmail Baqaei kepada pemberita dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita milik kerajaan Iran, IRNA.
Menteri Luar China Wang Yi akan mempengerusikan mesyuarat pada Selasa itu di tengah-tengah ketegangan berterusan antara AS dan Iran.
Mesyuarat bertemakan “Menegakkan Matlamat dan Prinsip Piagam PBB serta Memperkukuh Sistem Antarabangsa Berteraskan PBB” itu diadakan ketika konflik antara AS dan Iran masih berterusan meskipun gencatan senjata rapuh yang diusahakan oleh Pakistan pada 8 April, berjaya menyekat pertempuran yang tercetus sejak 28 Feb apabila Israel dan AS melancarkan serangan ketenteraan terhadap Tehran.
-- BERNAMA-ANADOLU