ISTANBUL: Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov bertemu rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi di Tehran pada Isnin, dengan delegasi diplomatik kedua-dua negara memulakan rundingan sejurus selepas pertemuan itu, menurut penyiar kebangsaan Iran, IRIB, lapor Anadolu Ajansi.
Lavrov tiba di Tehran pada Isnin bagi lawatan rasmi untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai Iran mengenai hubungan dua hala serta perkembangan serantau dan antarabangsa.
Menurut IRIB, pertemuan antara Lavrov dengan Araghchi disusuli rundingan antara delegasi diplomatik Iran dan Rusia.
Lavrov juga dijangka bertemu Presiden Iran Masoud Pezeshkian sepanjang lawatan itu, menurut IRIB yang memetik Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei.
Baqaei berkata lawatan itu merupakan sebahagian daripada rundingan dua hala yang berterusan serta usaha memantau perjanjian antara kedua-dua negara.
Iran dan Rusia memperkukuh kerjasama politik, ekonomi dan ketenteraan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ketika kedua-dua negara berdepan sekatan yang dikenakan oleh negara Barat.
Pada Januari 2025, Pezeshkian dan Presiden Rusia Vladimir Putin menandatangani Perjanjian Perkongsian Strategik Komprehensif selama 20 tahun di Moscow, yang merangkumi kerjasama dalam bidang pertahanan, keselamatan, tenaga, perdagangan dan pengangkutan.
Perjanjian itu turut memperuntukkan penyelarasan lebih erat dalam isu serantau dan antarabangsa, namun tidak mewujudkan kewajipan pertahanan bersama.
-- BERNAMA-ANADOLU