Menteri Luar Sepanyol akui penderitaan disebabkan penjajah dalam penaklukan Mexico

Penderitaan dan ketidakadilan yang dialami penduduk asal Mexico akibat tindakan penjajah Sepanyol diakui oleh Jose Manuel Albares. - Reuters
MADRID/MEXICO CITY: Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares pada Jumaat secara rasmi mengakui buat pertama kali tentang "penderitaan dan ketidakadilan" yang dialami oleh penduduk asal Mexico akibat tindakan penjajah Sepanyol kira-kira lima abad lalu, lapor agensi berita Jerman dpa.
"Terdapat ketidakadilan, dan adalah wajar untuk mengakui serta menyesalinya. Ia sebahagian daripada sejarah bersama kita. Kita tidak boleh menafikannya atau melupakannya," kata Albares semasa merasmikan pameran mengenai wanita pribumi Mexico di Madrid.
Presiden Mexico Claudia Sheinbaum menyifatkan kenyataan Albares itu sebagai "langkah pertama" ke arah yang betul.
"Ini kali pertama seorang anggota kerajaan Sepanyol menyatakan penyesalan terhadap ketidakadilan yang dilakukan. Itu sesuatu yang penting," katanya pada sidang media hariannya. Beliau menambah bahawa meminta maaf bukan satu penghinaan, sebaliknya menunjukkan keagungan sebenar sesebuah kerajaan dan negara.
Pengakuan Albares itu bukanlah permohonan maaf seperti yang pernah dituntut oleh presiden ketika itu Andres Manuel Lopez Obrador menerusi suratnya pada 2019 kepada Raja Sepanyol dan Paus berhubung penaklukan serta penindasan terhadap masyarakat pribumi pada abad ke-16.
Ketika itu, Sepanyol bertindak balas dengan kemarahan. Tiada respons rasmi diberikan, dan apatah lagi permohonan maaf.
Penjajah Sepanyol bertindak dengan kekejaman melampau semasa penaklukan dan penjajahan ke atas wilayah yang kini dikenali sebagai Mexico tidak lama selepas ketibaan Christopher Columbus.
Senjata mereka menjadikan pasukan itu hampir tidak dapat dikalahkan dalam pertempuran dengan kaum Aztec, manakala penyakit yang dibawa menyebabkan ratusan ribu penduduk tempatan terkorban.
Matlamat utama penjajah Sepanyol ialah memperoleh emas dan sumber lain serta mengukuhkan kuasa di Dunia Baharu. Budaya pra-Columbus ditekan, dengan kuil-kuil digantikan oleh gereja.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


