Menteri Luar Thailand hadapi tekanan letak jawatan berhubung kontroversi saham milik isteri

Bernama
Jun 3, 2018 20:42 MYT
Isu saham yang dipegang oleh isteri Don Pramudwinai (gambar) kini akan dibincangkan oleh Mahkamah Perlembagaan selepas ia menerima petisyen daripada EC. --fotoBERNAMA
Menteri Luar Thailand Don Pramudwinai menghadapi tekanan yang semakin meningkat supaya meletak jawatan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) mendapati isterinya melanggar peraturan had pegangan saham lima peratus.
Mengikut Seksyen 187 Piagam Perlembagaan 2017, seorang menteri dan pasangannya dilarang daripada memiliki saham.
Walaupun Don menghadapi tekanan yang semakin meningkat untuk meletakkan jawatan, Timbalan Perdana Menteri Wissanu Krea-ngam dipetik sebagai berkata rombakan kabinet adalah terlalu awal dan meminta semua pihak menunggu sehingga perkara itu diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Perlembagaan.
Sementara itu, Setiausaha Agung EC, Jarungvith Phumma berkata di bawah undang-undang, anggota kabinet yang menghadapi siasatan terhadap pegangan saham tidak perlu untuk melepaskan jawatan.
Isu saham yang dipegang oleh isteri Don kini akan dibincangkan oleh Mahkamah Perlembagaan selepas ia menerima petisyen daripada EC.
Sementara itu, pegawai undang-undang Pheu Thai, Ruangkrai Leekitwattana menggesa Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha untuk menggantung tugas Menteri Luar berusia 68 tahun itu berhubung kontroversi tersebut.
Dalam pada itu, seorang aktivis, Srisuwan Janya mendesak Don tidak menunggu keputusan mahkamah tetapi segera meletak jawatan.
-- BERNAMA
#Don Pramudwinai #EC #isteri #letak jawatan #mahkamah #menteri #Menteri Luar #Peraturan #Perlembagaan #petisyen #pilihan raya #rombakan kabinet #saham #siasatan #Suruhanjaya Pilihan Raya #tekanan #Thailand #undang-undang