[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
DUNIA

Menteri Pendidikan Singapura dilantik Pengerusi baharu PAP

Bernama 29/05/2025 | 20:45 MYT
Lee menggantikan bekas Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat yang bersara daripada politik.- Facebook Desmond Lee
SINGAPURA: Menteri Pendidikan Singapura, Desmond Lee dilantik sebagai Pengerusi baharu Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah, berkuat kuasa Khamis.

Lee menggantikan bekas Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat, yang bersara daripada politik.

"Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) PAP mengucapkan penghargaan kepada Pengerusi terdahulu Heng Swee Keat, atas kepimpinan dan perkhidmatannya selama bertahun-tahun kepada Parti dan Singapura, serta mendoakan beliau terus maju jaya dalam fasa baharu kehidupannya selepas bersara daripada politik," menurut parti itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

CEC PAP turut melantik Menteri Penyelaras Dasar Sosial dan Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung sebagai bendahari parti, manakala Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat dilantik sebagai pembantu bendahari.

Sementara itu, Pemangku Menteri yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Dalam Negeri dan Pembangunan Negara, Prof. Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah dipilih sebagai anggota baharu CEC dan turut dilantik sebagai Pengerusi Biro Ehwal Melayu PAP.

-- BERNAMA






#menteri pendidikan singapura #desmond lee #pengerusi baharu #PAP