Skip to main content

Dunia

Menteri Pertahanan Britain letak jawatan, Dan Jarvis dilantik sebagai pengganti

Dan Jarvis MP, The Minister of State, Home Department speaks at the House of Commons in London, Britain, November 18, 2025. ©House of Commons/Handout via REUTERS
Starmer dalam reaksinya melahirkan rasa kesal atas peletakan jawatan itu dan mengumumkan pelantikan Dan Jarvis sebagai Menteri Pertahanan yang baharu. - Foto REUTERS

LONDON: Kerajaan Britain mengumumkan pelantikan Dan Jarvis sebagai Menteri Pertahanan baharu pada Khamis selepas penyandangnya, John Healey, meletakkan jawatan.

Menurut pejabat Perdana Menteri di Downing Street, pelantikan itu dibuat susulan keputusan Healey berundur selepas pertikaian berbulan-bulan mengenai perbelanjaan pertahanan negara.

Dalam surat peletakan jawatannya, Healey mengkritik Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, kerana didakwa gagal menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk memperkukuh pertahanan negara ketika berdepan pelbagai ancaman keselamatan yang semakin meningkat.

Tindakan Healey, yang sebelum ini dianggap antara menteri yang setia kepada Starmer, dilihat sebagai satu tamparan kepada kepimpinan perdana menteri itu dan menyerlahkan tekanan yang dihadapi kerajaan dalam meningkatkan perbelanjaan pertahanan ketika kewangan negara semakin terhad.

Sebelum ini, Healey dilaporkan mengadakan beberapa rundingan dengan Starmer dan Menteri Kewangan, Rachel Reeves, bagi mencari dana tambahan untuk sektor pertahanan, sekali gus menyebabkan Pelan Pelaburan Pertahanan Britain tertangguh daripada jadual asal tahun lalu.

Dalam suratnya, Healey menyatakan kerajaan dan Perbendaharaan gagal menyediakan sumber kewangan yang diperlukan bagi mempertahankan negara.

Starmer dalam reaksinya melahirkan rasa kesal atas peletakan jawatan itu dan mengumumkan pelantikan Dan Jarvis sebagai Menteri Pertahanan yang baharu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement