DUNIA

Menteri Pertahanan Singapura lakukan lawatan rasmi pertama ke Malaysia hari ini

Agensi 24/08/2025 | 23:40 MYT
Chan Chun Sing dijadualkan bertemu rakan sejawatnya, Mohamed Khaled Nordin selain beberapa pemimpin utama Malaysia. - Gambar Facebook Chan Chun Sing
SINGAPURA: Menteri Pertahanan Singapura, Chan Chun Sing akan mengadakan lawatan rasmi pertama ke Malaysia selama dua hari bermula 25 hingga 26 Ogos ini.

Menurut Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF), beliau dijadualkan bertemu rakan sejawatnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selain beberapa pemimpin utama Malaysia.

Portal berita CNA melaporkan, dalam rangka lawatan itu, Chun Sing juga akan menyaksikan majlis menandatangani Arrangement for Mutual Submarine Rescue Support and Cooperation antara Tentera Laut Republik Singapura dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Beliau turut dijadual menyampaikan ucaptama di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) yang bernaung di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia.

“Lawatan ini menzahirkan hubungan pertahanan dua hala yang erat serta telah lama terjalin antara Singapura dan Malaysia,” menurut MINDEF dalam kenyataan.

Chun Sing akan diiringi oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Sean Wat serta beberapa pegawai kanan MINDEF sepanjang lawatan tersebut. - Agensi





#Menteri Pertahanan Singapura #Chan Chun Sing #lawatan rasmi #Mindef