DUNIA

Menteri Polis Afrika Selatan digantung tugas berikutan dakwaan berkaitan jenayah terancang

Astro Awani 13/07/2025 | 23:40 MYT
Mchunu menafikan semua dakwaan dan menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan. - Foto X/Mbali Mashinini
JOHANNESBURG: Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, telah menggantung tugas Menteri Polis, Senzo Mchunu, serta-merta susulan dakwaan serius mengenai penglibatannya dengan sindiket jenayah terancang dan campur tangan dalam siasatan berprofil tinggi.

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung kepada rakyat, Ramaphosa mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Kehakiman yang akan menyiasat dakwaan tersebut, termasuk kemungkinan penglibatan pegawai kanan kerajaan dan anggota pasukan keselamatan dalam melindungi aktiviti jenayah terancang.

Dakwaan terhadap Mchunu pertama kali didedahkan oleh Pesuruhjaya Polis Wilayah KwaZulu-Natal, Jeneral Nhlanhla Mkhwanazi, yang mendakwa menteri itu menerima sokongan kewangan daripada seorang ahli perniagaan yang disyaki terlibat dalam rasuah, bagi membiayai kegiatan politiknya.

Mkhwanazi turut menuduh Mchunu membubarkan pasukan khas yang ditubuhkan untuk menyiasat pembunuhan bermotifkan politik, selepas pasukan itu menemui kaitan dengan tokoh-tokoh berpengaruh termasuk ahli politik, pegawai polis dan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan kartel dadah.

Menurut Mkhwanazi, sebanyak 121 fail kes telah dikeluarkan dari unit siasatan atas arahan Mchunu tanpa kelulusan Pesuruhjaya Polis Kebangsaan, Jeneral Fannie Masemola.

Lima daripada fail tersebut sudah mempunyai arahan untuk melakukan tangkapan, namun tiada tindakan susulan diambil.

Mchunu, 67, menafikan semua dakwaan dan menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan.

“Saya menghormati keputusan presiden dan komited terhadap proses ini. Maruah dan integriti adalah nilai yang saya junjung,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Presiden Ramaphosa telah melantik Profesor Firoz Cachalia, seorang pakar undang-undang, sebagai Menteri Polis interim sementara siasatan dijalankan.

Suruhanjaya tersebut dijangka mengemukakan laporan awal dalam tempoh tiga bulan dan laporan penuh dalam enam bulan.

Langkah ini diambil di tengah-tengah tekanan awam dan politik yang semakin meningkat terhadap pentadbiran Ramaphosa untuk menangani isu rasuah dan jenayah terancang yang telah lama membelenggu sistem keadilan negara.







#Cyril Ramaphosa #Senzo Mchunu #jenayah terancang #gantung tugas