Skip to main content

Dunia

Menteri Tenaga Arab Saudi akui serangan Houthi uji ketahanan tenaga negara

Asap berkepul akibat kebakaran di loji penapisan minyak Aramco, selatan Riyadh, Arab Saudi, pada 3 Oktober 2026. Gambar dirakam menggunakan telefon bimbit.
Asap berkepul akibat kebakaran di loji penapisan minyak Aramco, selatan Riyadh, Arab Saudi, pada 3 Oktober 2026. Gambar dirakam menggunakan telefon bimbit.

Advertisement

RIYADH: Arab Saudi menegaskan keselamatan tenaga tidak boleh dipandang ringan ketika negara itu berdepan peningkatan serangan kumpulan Houthi dari Yaman sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Menteri Tenaganya, Putera Abdulaziz bin Salman berkata, perkembangan tersebut telah menguji keupayaan infrastruktur, institusi serta daya tahan negara itu dalam menghadapi krisis.

Menurutnya, keadaan berkenaan turut membuktikan kepentingan pelaburan jangka panjang bagi memastikan keselamatan dan kestabilan bekalan tenaga negara terus terpelihara.

“Keselamatan tenaga tidak boleh dipandang ringan. Bagi Arab Saudi, keadaan ini telah menguji infrastruktur, institusi, rakyat serta daya tahan negara kami.

“Keadaan ini juga menguji keputusan yang telah dibuat jauh sebelum krisis semasa berlaku, kerana daya tahan sesebuah negara perlu dibina sebelum sesuatu krisis tercetus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Kongres Tenaga WPC ke-25 di Riyadh hari ini.

Putera Abdulaziz menjelaskan, Arab Saudi telah melabur selama beberapa dekad dalam pembangunan infrastruktur, kemudahan penyimpanan, laluan eksport alternatif, teknologi serta pengukuhan rantaian bekalan domestik.

Katanya, pelaburan itu dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi sebarang gangguan, meskipun bentuk dan skala krisis pada masa hadapan tidak dapat dijangka.

Dalam pada itu, beliau menegaskan keselamatan tenaga dan peralihan kepada sumber tenaga baharu perlu dilaksanakan secara seiring bagi memastikan pembangunan sektor berkenaan kekal mampan.

“Tidak mungkin wujud masa depan tenaga untuk semua tanpa jaminan keselamatan tenaga untuk semua. Keselamatan tenaga dan peralihan tenaga mesti bergerak seiring,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika Arab Saudi berdepan siri serangan Houthi yang dilaporkan mengorbankan lebih 15 nyawa dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Di Yaman pula, Kementerian Kesihatan di bawah pentadbiran Houthi mendakwa 91 orang terbunuh dan 168 lagi cedera akibat serangan pakatan diketuai Arab Saudi dalam tempoh lima minggu, namun angka itu belum dapat disahkan secara bebas.

Ketegangan berterusan turut membayangi penganjuran kongres berkenaan apabila ketua eksekutif beberapa syarikat tenaga utama dunia termasuk ExxonMobil, TotalEnergies, Shell, Chevron dan BP tidak lagi disenaraikan dalam jadual terkini acara tersebut.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Arab Saudi meneruskan penganjuran kongres itu yang bermula pada Ahad, ketika keselamatan tenaga dan ketahanan infrastruktur menjadi antara tumpuan utama perbincangan.


 

Must Watch Video

Advertisement