OSAKA: Papan tanda ikonik Glico Dotonbori yang menghadap Terusan Dotonbori di Osaka akan dinaik taraf kepada reka bentuk generasi ketujuh menjelang musim bunga 2027.
Menurut syarikat pengeluar konfeksi, Ezaki Glico Co., kerja naik taraf itu perlu dilaksanakan berikutan sistem pencahayaan LED pada papan tanda sedia ada mula mengalami kemerosotan akibat faktor usia.
Projek berkenaan merupakan pengubahsuaian pertama terhadap mercu tanda terkenal dunia itu dalam tempoh 13 tahun.
Pencahayaan papan tanda generasi keenam akan ditamatkan sepenuhnya pada 30 Nov 2026 bagi membolehkan kerja-kerja pengubahsuaian dimulakan secara berperingkat pada Disember.
Walaupun reka bentuk generasi ketujuh masih dirahsiakan sehingga pelancaran rasminya pada musim bunga 2027, syarikat mengesahkan imej ikonik atlet yang mengangkat kedua-dua tangan di garisan penamat akan terus dikekalkan.
Menurut Ezaki Glico, simbol pelari itu akan terus menjadi identiti utama syarikat sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan kepada masyarakat.
Rekod syarikat menunjukkan papan tanda Glico Dotonbori pertama dipasang pada 1935, manakala versi generasi keenam yang dilancarkan pada Oktober 2014 mempunyai ketinggian 20 meter dan lebar 10.38 meter.
Melalui pengenalan generasi keenam, sistem lampu neon tradisional digantikan dengan teknologi diod pemancar cahaya (LED) yang mengandungi lebih 140,000 lampu LED, sekali gus meningkatkan kecekapan tenaga dan membolehkan paparan latar belakang dinamik seperti simulasi matahari terbenam serta Gunung Fuji.
Ezaki Glico berkata teknologi LED generasi baharu yang lebih cekap tenaga dan mesra alam akan digunakan sepenuhnya pada papan tanda generasi ketujuh tersebut.