Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Merz, Macron, Von Der Leyen sertai pertemuan Trump-Zelensky

Bernama 17/08/2025 | 12:36 MYT
Pada Sabtu, Zelensky mengesahkan rancangan lawatan ke Amerika Syarikat pada 18 Ogos untuk bertemu dengan Trump. - AP
MOSCOW: Canselor Jerman Friedrich Merz, Presiden Perancis Emmanuel Macron, dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen mengesahkan mereka akan ke Amerika Syarikat (AS) pada 18 Ogos untuk menyertai pertemuan antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Canselor Friedrich Merz akan ke Washington pada Isnin bersama Zelensky dan pemimpin Eropah yang lain untuk mengadakan rundingan politik," kata jurucakap kerajaan Jerman, Stefan Cornelius kepada pemberita pada Ahad.

Istana Elysee dalam satu kenyataan berkata Presiden Macron akan ke Washington esok untuk meneruskan penyelarasan tindakan antara negara Eropah dan Amerika Syarikat bagi mencapai keamanan yang adil dan berkekalan yang akan melindungi kepentingan penting Ukraine dan keselamatan Eropah.

"Atas permintaan Presiden Zelensky, saya akan menyertai pertemuan dengan Presiden Trump dan pemimpin Eropah yang lain di Rumah Putih esok," kata von der Leyen di platform X.

Pada Sabtu, Zelensky mengesahkan rancangan lawatan ke Amerika Syarikat pada 18 Ogos untuk bertemu dengan Trump.

-- BERNAMA

#Friedrich Merz #Emmanuel Macron #Ursula von der Leyen #Amerika Syarikat #Donald Trump #Volodymyr Zelensky