DUNIA

Mesir, Arab Saudi, UAE, AS gesa gencatan senjata kemanusiaan 3 bulan di Sudan

Bernama 13/09/2025 | 12:31 MYT
Jeda itu perlu bagi membolehkan penghantaran bantuan segera ke seluruh Sudan dan membuka laluan ke arah gencatan senjata kekal. - AP
KAHERAH: Menteri luar Mesir, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat pada Sabtu menggesa satu gencatan senjata kemanusiaan dilaksanakan selama tiga bulan di Sudan yang akan diikuti dengan perjanjian damai kekal, lapor Xinhua memetik kenyataan Kementerian Luar Mesir.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata jeda itu perlu bagi membolehkan penghantaran bantuan segera ke seluruh Sudan dan membuka laluan ke arah gencatan senjata kekal serta peralihan sembilan bulan kepada kerajaan dipimpin awam.

Menteri-menteri berkenaan memberi amaran bahawa konflik antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) telah mewujudkan krisis kemanusiaan terburuk di dunia dan menimbulkan risiko serius kepada kestabilan serantau.

Mereka menggesa semua pihak membenarkan akses kemanusiaan yang selamat, melindungi orang awam dan menghentikan serangan sembarangan. Keempat-empatnya berikrar untuk mendesak SAF dan RSF mencapai penyelesaian menerusi rundingan.

Sudan berada dalam konflik sejak April 2023 dengan puluhan ribu orang maut.

-- BERNAMA

#gencatan senjata #Sudan #bantuan kemanusiaan #konflik #perjanjian damai