Mesir dakwa pengisian Empangan GERD oleh Ethiopia langgar perjanjian tiga pihak

Bernama
September 11, 2023 03:30 MYT
Gambar fail pada Jun 2013 ketika kerja-kerja pembinaan sedang berjalan di sekitar tapak Grand Ethiopian Renaissance Dam dekat Assosa, Ethiopia. - Gambar fail AP
KAHERAH: Mesir pada Ahad mendakwa tindakan mengisi takungan empangan Grand Ethiopian Renaissance Dam (GERD) tanpa persetujuan Mesir dan Sudan adalah melanggar Deklarasi Prinsip (Declaration of Principles), iaitu perjanjian tiga pihak yang ditandatangani sebelum ini, lapor Xinhua.
Pada Ahad, Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed mengumumkan penyempurnaan pengisian keempat dan terakhir takungan GERD, di platform media sosial X.
"Ini adalah pelanggaran oleh Ethiopia terhadap Deklarasi Prinsip yang ditandatangani oleh ketiga-tiga pihak pada 2015," menurut Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan.
Deklarasi Prinsip menetapkan bahawa ketiga-tiga negara harus bersetuju mengenai peraturan mengenai pengisian dan pengendalian GERD sebelum memulakan proses itu, tegas kementerian itu.
Ia menambah bahawa tindakan unilateral sedemikian merupakan satu tindakan pengabaian kepentingan, hak negara-negara di hilir serta keselamatan air mereka di bawah peraturan undang-undang antarabangsa.
Pada 28 Ogos, Kementerian Sumber Air dan Pengairan Mesir mengumumkan bahawa rundingan terkini mengenai pertikaian GERD di Kaherah telah berakhir tanpa "hasil yang jelas."
Ethiopia mula mengisi empangan itu pada 2020 walaupun mendapat tentangan Mesir dan Sudan, sehingga membawa kepada penggantungan rundingan tiga pihak pada 2021.
Ethiopia mula membina GERD pada 2011 dan menjangkakan projek kuasa hidro mega itu akan menjana lebih daripada 6,000 megawatt elektrik, tetapi Mesir dan Sudan bimbang bahawa ia mengurangkan bahagian mereka.
--BERNAMA-XINHUA
#Mesir #Abiy Ahmed #Empangan GERD #ethiopia