Mesir gesa pasukan antarabangsa di sepanjang "Garisan Kuning" Gaza

Mesir menyokong mandat pengaman "dan bukan pemaksaan keamanan", sambil menekankan keperluan untuk menstabilkan gencatan senjata sebelum meneruskan langkah seterusnya. - Gambar/ Reuters
ISTANBUL: Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty pada Sabtu menggesa agar pasukan penstabilan antarabangsa dikerahkan "secepat mungkin" di sepanjang kawasan yang dikenali sebagai "garisan kuning" di Gaza bagi mengesahkan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Beliau menyatakannya ketika Israel terus menduduki lebih 50 peratus wilayah Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata itu, dengan garisan kuning memisahkan zon pengerahan tentera Israel dari kawasan yang dibenarkan untuk pergerakan rakyat Palestin.
Semasa sesi di Forum Doha 2025, menteri itu berkata pemantau antarabangsa diperlukan kerana "satu pihak, iaitu Israel, setiap hari melanggar gencatan senjata dan mendakwa bahawa pihak satu lagi yang melanggar."
Beliau menegaskan Mesir menyokong mandat pengaman "dan bukan pemaksaan keamanan", sambil menekankan keperluan untuk menstabilkan gencatan senjata sebelum meneruskan langkah seterusnya.
"Sekarang kita perlu mengukuhkan gencatan senjata bagi membolehkan kita bergerak secepat mungkin ke fasa kedua Pelan Damai Trump."
Diplomat tertinggi itu berkata rakyat Palestin "sepatutnya menguruskan hal ehwal mereka sendiri."
Beliau berkata Gaza dan Tebing Barat merupakan "bahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada" negara Palestin merdeka sehingga Pihak Berkuasa Palestin diberi kuasa sepenuhnya dan ditempatkan di Gaza.
"Tiada penyelesaian atau keselamatan serta kestabilan yang mampan untuk Israel atau Timur Tengah tanpa negara Palestin... selain daripada itu, semuanya hanyalah penyelesaian sementara," katanya.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

