DUNIA
Mesir giatkan hubungan diplomatik menjelang sidang kemuncak tergempar Doha

Badr Abdelatty (gambar) telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya, Putera Faisal Farhan Al Saud dari Arab Saudi, Hakan Fidan dari Turkiye, dan Mohammad Ishaq Dar dari Pakistan. - REUTERS
ISTANBUL: Mesir mengumumkan siri hubungan diplomatik intensif dengan pegawai Arab, Islam dan serantau pada Sabtu menjelang sidang kemuncak tergempar Arab-Islam yang akan dianjurkan Qatar pada Isnin.
Sidang kemuncak itu akan membincangkan serangan Israel baru-baru ini di Doha, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut kenyataan Kementerian Luar Mesir, Menteri Luar Badr Abdelatty telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya, Putera Faisal Farhan Al Saud dari Arab Saudi, Hakan Fidan dari Turkiye, dan Mohammad Ishaq Dar dari Pakistan.
Kementerian itu berkata hubungan berkenaan diadakan "berikutan perkembangan serantau yang berlaku dengan pantas dan sebagai sebahagian daripada penyelarasan bersama dengan negara serantau menjelang sidang kemuncak tergempar Arab-Islam di Doha."Para pegawai berkenaan bertukar pandangan mengenai "cara menangani cabaran politik dan keselamatan yang serius, dihadapi rantau ini serta kesan daripada peristiwa mutakhir."
Mereka turut menekankan kepentingan meneruskan penyelarasan politik, diplomatik dan ekonomi bagi memperkukuh keselamatan serta kestabilan di negara Arab dan Islam.
Kementerian itu menegaskan gesaan para pegawai berkenaan mengenai "solidariti dalam kalangan negara Arab dan Islam pada saat kritikal ini" dan keperluan menyelaras pendirian untuk melindungi kepentingan serantau serta menjamin keselamatan.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar Majed Al-Ansari mengesahkan pada Sabtu bahawa Doha akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak itu, yang akan membincangkan draf resolusi berhubung serangan Israel ke atas Qatar.
Serangan Israel pada Selasa menyasarkan kepimpinan Hamas di Doha, mengorbankan seorang pegawai keselamatan dalaman Qatar dan lima pegawai Hamas.
Hamas mengesahkan delegasi perundingannya terselamat, termasuk Ketua Hamas di Gaza, Khalil al-Hayya, manakala tiga pembantunya serta Jihad Labad, ketua pejabat Hayya, terbunuh.
Serangan itu berlaku ketika rundingan mengenai cadangan perjanjian yang dikemukakan Amerika Syarikat bagi menamatkan perang pembunuhan genosid beramai-ramai di Gaza yang telah meragut lebih 64,800 nyawa rakyat Palestin sejak Oktober 2023.
Qatar dan Mesir, bersama Amerika Syarikat, kekal sebagai pengantara utama dalam usaha menyelesaikan konflik itu.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami