DUNIA

Mesir kecam serangan terhadap konvoi bantuan, kemudahan perubatan di Sudan

Bernama 08/02/2026 | 13:12 MYT
Kementerian Luar Mesir membidas "serangan kejam berulang kali" terhadap konvoi bantuan kemanusiaan dan kemudahan perubatan di Sudan. - AP
KAHERAH: Mesir mengecam sekeras-kerasnya pada Ahad serangan berulang yang menyasarkan konvoi bantuan kemanusiaan, kemudahan perubatan dan orang awam yang kehilangan tempat tinggal di Sudan, serta menyifatkannya sebagai pencabulan serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Mesir membidas apa yang dipanggil sebagai "serangan kejam berulang kali" terhadap konvoi bantuan kemanusiaan dan kemudahan perubatan di Sudan, selain memberi amaran bahawa tindakan sedemikian menjejaskan usaha bantuan dan memburukkan lagi "malapetaka kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini" di negara itu.

Kementerian itu merujuk kepada serangan dron baru-baru ini yang menyasarkan konvoi bantuan gabungan Program Makanan Sedunia di negeri Kordofan Utara, Sudan, yang mengorbankan seorang pekerja bantuan dan mencederakan beberapa yang lain. Ia turut memetik satu lagi insiden serupa di negeri yang sama yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 24 orang maut.

Menurut kenyataan itu pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa itu yang berulang ini menyumbang kepada krisis kemanusiaan yang lebih mendalam di Sudan, di tengah-tengah peningkatan jumlah pelarian dan ketakjaminan makanan yang semakin meruncing. Mesir turut menekankan keperluan mendesak untuk memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan kepada rakyat Sudan tanpa sebarang halangan.

Mesir juga menyeru agar diwujudkan keadaan yang kondusif bagi meringankan penderitaan orang awam dan memulihkan kestabilan, selain menekankan kepentingan menghentikan peningkatan konflik serta melindungi operasi kemanusiaan di seluruh Sudan.

Sejak pertengahan April 2023, Sudan terjerumus dalam konflik antara Angkatan Tentera Sudan dan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF), yang telah meragut puluhan ribu nyawa dan menyebabkan jutaan orang melarikan diri, sama ada di dalam Sudan mahupun ke luar negara.

--BERNAMA-XINHUA


#Mesir #serangan konvoi #bantuan kemanusiaan #perubatan #Sudan