KAHERAH: Mesir menaikkan harga bahan api domestik awal pagi Selasa dengan alasan keadaan luar biasa dalam pasaran tenaga global, menurut kenyataan Kementerian Petroleum dan Sumber Mineral negara itu yang dipetik oleh Xinhua.
Berdasarkan angka daripada kementerian itu, harga bagi produk petroleum utama meningkat antara 14 peratus hingga 17 peratus.
Advertisement
Menurut kenyataan itu, harga petrol gred 95-oktana naik kepada 24 pound Mesir (US$0.45) seliter berbanding 21 pound, manakala petrol 92-oktana meningkat kepada 22.25 pound (US$0.42) daripada 19.25 pound.
Bagi petrol 80-oktana, harga baharu ialah 20.75 pound (AS$0.40) berbanding 17.75 pound, sementara harga diesel melonjak kepada 20.5 pound (AS$0.39) daripada 17.5 pound.
Sementara itu, harga gas asli mampat (CNG) bagi kenderaan meningkat kepada 13 pound (AS$0.25) setiap meter padu berbanding 10 pound sebelum ini, katanya.
Kementerian itu memaklumkan bahawa harga baharu itu berkuat kuasa bermula pukul 3.00 pagi waktu tempatan (0100 GMT) pada Selasa.
Pelarasan itu dikaitkan dengan "situasi luar biasa akibat perkembangan geopolitik di Asia Barat serta kesan langsungnya terhadap pasaran tenaga global" yang telah meningkatkan kos import dan pengeluaran domestik secara ketara.
Menurut kementerian itu, gangguan dalam rantaian bekalan, peningkatan tahap risiko, serta kos perkapalan maritim dan insurans yang lebih tinggi telah mendorong lonjakan mendadak harga minyak mentah dan produk petroleum global ke paras yang tidak pernah dilihat dalam tempoh beberapa tahun.
Sebagai respons kepada cabaran itu, kerajaan sedang meneruskan usaha untuk meningkatkan pengeluaran domestik serta memperluas aktiviti penerokaan minyak dan gas bagi mengurangkan bil import negara.
Pihak berkuasa turut memantau rapi perkembangan pasaran dan kos bagi memastikan kelestarian bekalan petroleum dan gas kepada rakyat dan semua sektor, di samping mengekalkan keselamatan tenaga serta kestabilan pasaran domestik.
Kenaikan harga bahan api di Mesir ini berlaku di tengah-tengah konflik berterusan yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel, dan Iran, yang telah memberi kesan kepada rantau Teluk serta menjejaskan pasaran minyak dan gas global.
-- BERNAMA-XINHUA