[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
INTERNATIONAL

Mesir, Qatar teruskan usaha intensif mengantara damai, wujudkan perjanjian gencatan senjata di Gaza

Bernama 12/04/2025 | 02:20 MYT
Satu jawatankuasa pentadbiran sementara akan dibentuk bagi mentadbir Semenanjung Gaza untuk tempoh peralihan enam bulan sehingga Pihak Berkuasa Palestin bersedia untuk mengambil alih sepenuhnya pentadbiran wilayah itu. - Gambar AP
ANKARA: Usaha berterusan oleh Mesir dan Qatar bagi menjadi perantara dalam rundingan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza berlangsung setiap hari, kata Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Kami bekerja setiap hari dengan penyelarasan bersama rakan sejawat kami di Qatar untuk memuktamadkan satu perjanjian yang dapat memberikan kelegaan kepada kedua-dua pihak, khususnya orang awam," katanya pada sidang media di luar Forum Diplomasi Antalya di Turkiye.
Abdelatty berkata, satu jawatankuasa pentadbiran sementara akan dibentuk bagi mentadbir Semenanjung Gaza untuk tempoh peralihan enam bulan sehingga Pihak Berkuasa Palestin bersedia untuk mengambil alih sepenuhnya pentadbiran wilayah itu.
Menteri Luar Mesir itu menegaskan, sebaik sahaja gencatan senjata dicapai di Gaza, usaha pembinaan semula wilayah yang musnah akibat peperangan akan dilaksanakan secara besar-besaran oleh komuniti antarabangsa.
"Terdapat persefahaman bersama bahawa Gaza perlu dibangunkan semula, dan ini memerlukan sumbangan antarabangsa yang diselaraskan," katanya.
Abdelatty turut menegaskan, sebarang pemindahan rakyat Palestin secara paksa dari tanah mereka atas sebarang alasan merupakan tindakan yang dianggap sebagai usaha menghapuskan perjuangan Palestin, dan Mesir menolak sepenuhnya cadangan sedemikian.
Beliau turut mendedahkan perbincangan sedang dijalankan mengenai latihan pasukan polis Palestin dan kemungkinan penempatan pasukan antarabangsa bagi melindungi orang awam di Gaza.
"Matlamatnya adalah untuk memulihkan keselamatan dan kestabilan dengan jaminan perlindungan kepada rakyat," katanya.
Abdelatty turut menegaskan, Israel perlu kembali kepada kerangka tanggungjawab dan undang-undang antarabangsa.
Tentera Israel melancarkan semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac lepas, sekali gus menjejaskan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dicapai pada 19 Jan.
Pada November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga sedang berdepan kes jenayah genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangannya ke atas wilayah itu.
-- BERNAMA
#gencatan senjata #Semenanjung Gaza #Hamas-Israel #Mesir-Qatar