DUNIA

Mesir, Qatar usahakan gencatan senjata 60 hari menuju perjanjian keamanan kekal di Gaza

Bernama 02/06/2025 | 02:45 MYT
Mesir dan Qatar turut memaklumkan bahawa mereka meneruskan usaha intensif "untuk merapatkan perbezaan pandangan dan menyelesaikan perkara yang menjadi pertikaian". - Foto fail/AP
ISTANBUL: Mesir dan Qatar pada Ahad menyatakan harapan agar persetujuan dapat dicapai dengan segera berhubung cadangan gencatan senjata sementara selama 60 hari antara Israel dan Hamas, yang akan membuka laluan ke arah gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua negara menggesa semua pihak "agar bertindak dengan penuh tanggungjawab dan menyokong usaha perantara yang berusaha menyelesaikan krisis di Semenanjung Gaza dengan mengembalikan kestabilan dan ketenangan di rantau ini."

Mesir dan Qatar turut memaklumkan bahawa mereka meneruskan usaha intensif "untuk merapatkan perbezaan pandangan dan menyelesaikan perkara yang menjadi pertikaian bagi mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh utusan Presiden Amerika Syarikat ke Timur Tengah, Steve Witkoff, sekali gus membolehkan rundingan tidak langsung disambung semula berasaskan cadangan tersebut."

Kedua-duanya juga menyatakan bahawa mereka "berusaha agar gencatan senjata sementara selama 60 hari dapat dicapai dengan segera, yang akan menjadi asas kepada perjanjian gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza."

Kenyataan itu turut menyebut bahawa langkah ini "akan memudahkan penyelesaian terhadap krisis kemanusiaan luar biasa di rantau ini, membuka laluan lintasan sempadan dan membolehkan bantuan kemanusiaan serta bantuan kecemasan disalurkan bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin di Gaza."

Kaherah dan Doha turut menegaskan bahawa usaha ini "bertujuan menamatkan peperangan sepenuhnya dan memulakan semula pembinaan semula Semenanjung Gaza selaras dengan pelan yang diluluskan pada sidang kemuncak tergempar Arab di Kaherah pada 4 Mac lalu."

-- BERNAMA





#gencata #Israel #Hamas #Gaza