[TERKINI] AS Turunkan Tarif ke 19% Terhadap Malaysia – Semak Laporan Penuh Di Sini
DUNIA

Mesir, UAE, Jordan laksana operasi gugur bantuan ke Gaza

Bernama 31/07/2025 | 05:30 MYT
Jumlah keseluruhan bantuan yang digugurkan sejak beberapa hari kebelakangan ini kini mencecah 73 tan. - Gambar/ AP
ISTANBUL: Mesir, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaksanakan penghantaran bantuan kemanusiaan melalui guguran udara ke Gaza pada Rabu, ketika kebuluran semakin meruncing dan serangan tentera Israel ke atas orang awam masih berterusan, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Mesir, Jordan dan UAE melaksanakan penghantaran bantuan melalui guguran udara ke Gaza susulan krisis kebuluran dan serangan berterusan Israel, melibatkan 73 tan bantuan termasuk makanan dan susu formula bayi.
  • Tentera Israel membenarkan pengguguran bantuan terhad dan memulakan jeda taktikal tempatan di kawasan tertentu, namun UNRWA menyatakan langkah itu tidak mencukupi untuk menghentikan kebuluran yang telah meragut sekurang-kurangnya 154 nyawa termasuk 89 kanak-kanak.
  • Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 600 trak bantuan harian untuk memenuhi keperluan 2.4 juta penduduk, dengan penghantaran udara dilakukan ke kawasan yang tidak dapat diakses melalui darat.


Tentera Jordan menjalankan pusingan baharu operasi pengguguran bantuan dengan kerjasama Tentera Udara UAE dan Pertubuhan Amal Hashemite Jordan, lapor Agensi berita rasmi Jordan, Petra.

Dua pesawat C-130 milik Tentera Udara Jordan dan UAE digunakan dalam operasi itu, merangkumi 16 tan makanan dan susu formula bayi ke beberapa kawasan di Gaza.

Jumlah keseluruhan bantuan yang digugurkan sejak beberapa hari kebelakangan ini kini mencecah 73 tan, berdasarkan mekanisme penyampaian yang dirancang dalam memastikan penghantaran yang lebih berkesan.

Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Angkatan Tentera Mesir, Briged Jeneral Gharib Abdel Hafez memaklumkan di Facebook bahawa empat pesawat tentera berlepas dari Mesir membawa bantuan makanan untuk digugurkan ke kawasan Gaza yang tidak dapat diakses melalui darat.

Tentera Israel pada Sabtu mengumumkan bahawa mereka akan membenarkan pengguguran bantuan terhad dan memulakan "jeda taktikal tempatan dalam aktiviti ketenteraan" di kawasan tertentu bagi memudahkan akses bantuan kemanusiaan.

Langkah itu diambil susulan tekanan serantau dan komuniti antarabangsa berhubung krisis kebuluran di Gaza, dengan amaran kemungkinan berlakunya kematian besar-besaran melibatkan lebih 100,000 kanak-kanak.

Agensi PBB bagi pelarian Palestin (UNRWA) mengkritik kaedah itu, dengan menyatakan bahawa ia tidak mencukupi untuk menghentikan kebuluran.

Pegawai Palestin menyatakan Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 600 trak bantuan setiap hari bagi memenuhi keperluan 2.4 juta penduduknya.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 154 orang meninggal dunia akibat kebuluran sejak Oktober 2023, termasuk 89 kanak-kanak.

-- BERNAMA




#Genosid Gaza #kekejaman israel #bantuan kemanusiaan #Mesir