DUNIA

Mesir usahakan gencatan senjata 60 hari di Gaza

Bernama 30/06/2025 | 06:31 MYT
Badr Abdelatty menjelaskan cadangan itu merupakan usaha bersama Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat dan disifatkan sebagai "langkah pertama" ke arah gencatan senjata yang mampan. - Foto AP
ISTANBUL: Menteri Luar Mesir pada Ahad berkata negaranya sedang berusaha merangka satu perjanjian baharu Gaza yang merangkumi gencatan senjata selama 60 hari, sebagai pertukaran bagi pembebasan beberapa tawanan Israel serta kemasukan segera bantuan kemanusiaan ke wilayah yang dikepung itu, lapor agensi Anadolu Ajansi (AA).

Ringkasan AI
  • Mesir sedang merangka perjanjian gencatan senjata 60 hari di Gaza, sebagai pertukaran bagi pembebasan tawanan Israel dan kemasukan segera bantuan kemanusiaan, termasuk bekalan perubatan.
  • Cadangan ini merupakan usaha bersama Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat, dan dianggap sebagai langkah awal ke arah gencatan senjata yang berkekalan.
  • Langkah ini dijangka membuka jalan kepada pelaksanaan perjanjian 19 Januari, serta mewujudkan momentum ke arah penyelesaian jangka panjang konflik Gaza.

"Kami sedang berusaha ke arah penyelesaian berkekalan dan gencatan senjata menyeluruh," kata Badr Abdelatty dalam satu wawancara yang disiarkan di saluran televisyen tempatan, OnTV.
Beliau menjelaskan cadangan itu merupakan usaha bersama Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat dan disifatkan sebagai "langkah pertama" ke arah gencatan senjata yang mampan.
"Apa yang dibentangkan kini ialah satu gencatan selama 60 hari, sebagai pertukaran bagi pembebasan sejumlah tawanan Israel serta penghantaran segera bantuan ke Gaza, termasuk bekalan perubatan," katanya.
Langkah ini dijangka "mewujudkan momentum ke arah gencatan senjata yang berkekalan, seterusnya membuka jalan kepada pelaksanaan perjanjian 19 Jan," katanya.
-- BERNAMA
#Mesir #gencatan senjata #Israel #Gaza #bantuan kemanusiaan #Badr Abdelatty